Sunday, 10 February 2013

Hyunje Harina : Part VI


          Shira di sebelah kiri sudah tersengguk-sengguk. Farasyiqeen di sebelah kanan juga tersengguk-sengguk. Namun masih cuba mengawal rasa ngantuknya. Haifa sudah berkali-kali menguap. Ustaz di hadapan sudah tidak di hiraukan. Kuliah subuh pukul lima pagi! Pertama kali seumur hidup di kerah bangun pada pukul 4.30 pagi.
          4.30 pagi tau tak!
         Pelbagai perkara di usahakannya untuk mengawal rasa ngantuk.
         Membesarkan biji mata!
         Rasa nak tercabut saraf mata aje ni.
         Menggerakkan seluruh jari-jemari!
         Macam nak menari Ulik Mayang aje gayanya..
         Menarik nafas dalam-dalam dan ..
          Lepas!
         HAH!
        Seraya itu, saf lelaki di hadapannya menoleh kebelakang. Tumpuan pada ustaz yang sedang memberi kuliah subuh di hadapan hilang begitu sahaja. Pelajar perempuan yang sebaris dengan safnya turut menoleh pada Haifa. Helaan nafas paling kuat punya!
        Haifa tertunduk malu. Panas terasa sampai ke muka. Namun, Farasyiqeen dan Shira masih terus tersengguk. Pekak badak rupanya!
        Ustaz Helmi hanya tersenyum dari tempat imam. “Antara nafsu dan iman, kedua-duanya ada aura tersendiri. Kita perlu melawan nafsu dengan mempertingkatkan iman. Tetapi, kita perlu ada strategi sendiri untuk melawan nafsu itu. Terutamanya nafsu tidur. Seorang sahabat kita tadi menggunakan pelbagai teknik untuk melawan rasa ngantuk. Termasuklah menjerit. Tidak seperti sahabat-sahabatnya yang lain yang lebih gemar melayan nafsu tidurnya. Namun, cara itu salah. Perlu cari cara yang lebih alternatif, ya?,” Ustaz Helmi tersenyum simpul.
         Tepat batang hidungku!
         Haifa mengangguk. Tangan Haifa mencuit pinggang kedua-dua rakannya di sebelah. Terkejut Farasyiqeen dan Shira di buatnya. Terpisat-pisat mata mereka menahan cahaya lampu pendaflour. Shira menggosok matanya. Farasyiqeen teraba-raba mencari kaca matanya.
        Ketawa berderai. Kedua-duanya terbelalak!
         Sedari tadi, semua mata tertumpu pada mereka berdua memandangkan Ustaz Helmi menegur Haifa tadi. Tangan Shira terus menyapu seluruh wajahnya. Mahu menghilangkan rasa ngantuk yang menguasai. Tiba-tiba, tangan Shira terasa kesat di tubir bibirnya. Air liur basi! Terus dia menekup mulutnya. Malunya!
         Ustaz Helmi tersenyum lagi. “Sampai di sini sahaja kuliah subuh kita pagi ini. Mana-mana pelajar yang sudah terlelap tadi pergi ambil wudu’ semula. Subuh dah nak masuk ni..”, Ustaz Helmi menamatkan kuliah subuh di ufuk sidiq itu. Matahari mahu menjengah pula!

***

          Huuwaa. . !!
         Zafri mengeliat. Terasa urat-urat sarafnya cuba bergiat aktif pagi ini. Udara segar jam 6.30 pagi di hirup lama. Adham dan Wan Safwan masih lena di ulit mimpi. Namun tidak bagi Zafri. Semalaman dia tidak dapat tidur lena. Berbantalkan beg, bertilamkan batu kerikil. Mau patah pinggang aku macam ni!
        Zafri keluar dari khemahnya. Tadi sejurus usai Solat Subuh, renjer yang bertugas mengawasi mereka membenarkan mereka tidur semula. Mengumpulkan kecergasan sebelum aktiviti yang bakal di jalankan nanti. Matahari sudah menjengahkan sedikit cahayanya. Zafri fikir mahu membuat sedikit regangan pada pagi ini. Sekurang-kurangnya boleh menghilangkan rasa bosan yang menguasai.
         Zafri terbongkok-bongkok. Kemudian dia, berlari setempat. Dalam beberapa saat pula, dia melakukan lompat bintang. Kakinya pantas melangkah ingin berjoging di seluruh kawasan perkhemahan Gunung Besar Hantu itu. Dari jauh, dia terlihat sekujur tubuh berdiri di cenuram bukit sambil berpeluk tubuh.
        Zafri mengetap bibir. Orang ke hantu? Pagi-pagi buta ni sorang-sorang dekat tepi tebing, seramlah pula! Pandangan mata Zafri turun pada tanah tempat figura itu berdiri. Ada kaki! Sah oranglah tu! Dalam samar-samar kabus tebal Zafri menajamkan lagi penglihatannya. Zafri tersenyum pula. Bulu roma yang tadi tegak berdiri kembali menyembah prinsip graviti. Perlahan-lahan Zafri mendekati figura itu. Susuk tubuh yang memakai sweater serta bertudung menguatkan lagi andaian yang itu merupakan seorang perempuan. Apa dia buat kat sini pagi-pagi?
        Zafri betul-betul di belakang perempuan itu. Zafri menstabilkan dirinya dengan memijak batu yang lebih leper. Batu-batu itu sangat licin. Penuh berlumut! Air sungai yang mengalir dari puncak Gunung Besar Hantu itu betul-betul di sebelah mereka. Terasa dingin.
        Dengan penuh senyuman, “Assalamulaikum”.
        “Ya Allah!”.
        Kaki Haifa tergelincir dari batu yang di pijaknya. Terasa lengannya di tarik oleh seeseorang. Pantas di angkat mukanya untuk melihat siapa yang berani membuatkan dia terkejut sehingga tergelincir jatuh. Mamat ni? Zafri turut terkejut tatkala pelajar perempuan tadi tiba-tiba tergelincir. Nasib baik sahaja Zafri pantas menangkap lengan pelajar perempuan itu tadi dari tergelincir jatuh ke dalam aliran dingin sungai di sebelah mereka. Tetapi, yang lebih mengejutkan pelajar perempuan itu ialah Haifa. Haifa Harina. Pengawas yang terlebih garang hari tu!
         “Awak mengelamun apa lagi?! Tariklah saya. Takkan awak nak biarkan saya berpaut kat awak macam ni terus?!”, suara Haifa yang sememangnya mempunyai aura yang tinggi itu hampir sahaja memecahkan gegendang telinga Zafri.
         Zafri melihat postur mereka berdua. Tangan kanan Zafri kejap memegang lengan kiri Haifa. Tangan kanan Haifa pula sudah menarik baju T yang di pakai Zafri sehingga terlihat sebahagian bahunya. Tangan kiri Zafri? Ya, sedang tenang memegang tangan kanan Haifa. Amboi, over sangatlah pula!
          Zafri pantas menarik tangan kirinya dari tangan Haifa. Mukanya yang keputihan itu berona merah. Macam manalah boleh tak sedar ‘ter’pegang tangan perempuan ni? Cari masalah betullah kau ni, Zafri!
       “Aah!”. Haifa terjerit kecil. Tangan kiri Zafri yang pada mulanya mampu mengawal keseimbangan Haifa akhirnya membuatkan Haifa sedikit jatuh dari pegangan Zafri.
        “Sekarang awak nak molekkan bahasa awak tu atau awak nak saya tarik lagi satu tangan saya ni? Awak pilih”. Tegas suara Zafri hendak mendidik budi bahasa dalam diri manusia keras kepala ini.
       Haifa mengetap bibir. “Awak yang buat saya terkejut tau tak? Kalau tak saya tak payah nak berpaut dekat awak macam ni! Tarik ajelah saya naik, habis cerita. Nak suruh saya pilih pula. Ingat ni kuiz sains ke, hah?”. Haifa membentak. Geram sungguh dia dengan mamat seorang ini. Dia dengan adik dia sama aje!
         “Awak yang pilih”. Pegangan pada lengan Haifa di lepaskan sedikit. Terbeliak biji mata Haifa. Tak fasal-fasal aku jatuh dalam air sejuk beku ni!
        “Okey, fine!”. Zafri tersenyum puas.
          Haifa mengherotkan bibirnya. Terpaksa juga dia berlembut dengan mamat ni.
         “Awak, boleh tak awak tarik saya naik atas? Saya dah nak terjatuh ni. Tolonglah, takkan awak nak biarkan saya mandi air sejuk beku ni. Please..”, Haifa sudah buat ayat paling manja pernah di ungkapkan bibirnya. Terasa geli pula Haifa menuturkan dengan gaya sedemikian. Senyuman yang dibuat-buat di lebarkan lagi hingga ke telinga. Terpaksa, kalau tak jangan harap aku inginlah!
         “Apa? Saya tak dengarlah”, Zafri mengusik nakal. Haifa mengetap bibir geram. Kakinya pantas menendang betis Zafri. Ambil kau!
          “Adoi! Ya Allah, berbisanya. Awak ni perempuan ke lelaki, hah? Tendangan macam Bruce Lee”, Zafri sudah terhenjot-henjot menahan sakit. Mujur tangannya masih kuat memegang lengan Haifa.
         Haifa hanya menjelir lidah. Satu jelingan maut di ‘sedekah’kan buat Zafri. “Awak nak tarik saya ke tak?”, Haifa memberi kata dua.
        “Patutnya saya yang cakap macam tu”. Zafri membuat  muka tidak puas hati. “Awak ni kan, geram saya dengan perangai awak tau. Nasib baiklah saya ni gentleman”. Terus dia menarik tubuh Haifa. Lama-lama pegang dia ni pun, boleh patah tulang tangan aku. Boleh tahan berat juga dia ni. Zafri membebel sendirian.
        “Apa awak cakap?”, Haifa dapat menangkap bebelan Zafri tadi. Pertanyaan itu di jawab dengan gelengan kepala oleh Zafri. Takut apabila dirinya di panah dengan pandangan tajam Haifa itu.
          Kedudukan Zafri dan Haifa begitu rapat. Lebih kurang tiga inchi sahaja jarak mereka memandangkan mereka berdiri di atas satu batu yang sama. Haifa tidak berani mengangkat wajah lagi. Mukanya hampir sahaja menyentuh dada Zafri. Tinggi sangat, tulah fasal. Ke aku yang pendek?
         Siren dari pondok utama renjer kedengaran. Zafri dan Haifa pantas menoleh pada tempat yang sama. Tanda untuk semua pelajar berkumpul di tempak perhimpunan sebelum menjalankan aktiviti seterusnya.
          “Saya pergi dulu, ya. Nak kejutkan kawan-kawan saya yang lain. Awak jangan terlewat pula. By the way, you’re welcome”, pantas kaki Zafri melangkah batu-batu yang tersusun semulajadi di tebing sungai itu. Sempat lagi dia mengenyitkan mata pada Haifa sambil melambaikan tangan.
          Tangan Haifa juga membalas lambaian itu. Kenapa aku lambai balik pula? Tak payah! Pantas Haifa menghentikan lambaian tangannya.
         Huh, perli akulah tu. “Terima kasih!”.

***

          Haifa mengikut setiap regangan yang di ketuai Adham di depan. Tertonggek sana, tertonggek sini. Ni ke namanya ‘regangan’? Haifa mengomel di dalam hati. Penat dia mengikut gerak regangan Adham di depan. Sudah hampir dua puluh minit melakukan regangan tetapi tiada tanda-tanda regangan ini akan berakhir. Huh..
         Kesemua peserta perkhemahan kali ini di bahagikan kepada lima kumpulan. Terdiri daripada dua pelajar lelaki dan empat orang pelajar perempuan. Malang bagi Haifa, Zafri Iskandar dalam kumpulan yang sama dengannya! Farasyiqeen dan Shira pula bukan satu kumpulan dengannya. Haifa sendirian dalam kumpulan ini bersama dengan dua lagi pelajar perempuan Tingkatan Lima dan Afiqah yang langsung tidak bersatu hati dengannya. Malang sungguh! Setiap kumpulan di beri nama yang tertentu. Kumpulan yang bertemakan haiwan kesemuanya.  Bagi kumpulan Haifa pula, malasnya nak sebut. Kumpulan Koala! ‘Comel’, kan?
         “Okey, sudah-sudahlah tu Tok Imam. Penat kawan-kawan semua ni. Baru stretching dah penat macam lari satu padang bola sepak”, suara renjer yang berada di sisi Adham menukirkan senyuman Haifa. Akhirnya! Gelaran ‘Tok Imam’ kepada Adham adalah kerana dia menjadi imam bagi setiap solat yang di tunaikan sepanjang perkhemahan. Terserlah sikap kepimpinannya apabila dia menawarkan dirinya sendiri.
         Tidak seperti pelajar lelaki yang lain. Penakut!
          “Minta perhatian! Selepas ini, kita akan jalankan aktiviti yang lasak. Jungle-trekking.” Seraya itu, suara para pelajar berbisik-bisik menguasai. Macam-macam reaksi yang ada. Bagi Haifa, ini suatu malapetaka! Tak ada dalam senarai aktiviti pun ke aku tak habis baca?
          “Ada saya suruh kamu bersembang ke, hah?”, suara renjer di hadapan mengunci mulut setiap pelajar.
          “Turun dua puluh!”.
          Semua pelajar serentak melakukan ketuk ketampi. Suara Adham mengetuai kiraan setiap kali ketuk ketampi di lakukan. Perkhemahan kali ini lebih kepada penepatan disiplin. Renjer menetapkan denda ketuk ketampi bagi setiap kali arahan di langgar dan semua pelajar mesti melaksanakan bersama-sama. Ini jelas bagi menerapkan nilai kesatuan dan disiplin dalam diri pelajar.
          Masing-masing melepaskan keluhan. Dalam masa dua hari satu malam ini sahaja, sudah ratusan ketuk ketampi yang terpaksa dilakukan. Semua gara-gara mulut becok kebanyakan pelajar yang sering menentang arahan. Tidak termasuk Haifa, ya! Haifa sudah penat bertekak di sekolah.
           Semua pelajar terduduk penat usai melakukan ketuk ketampi. Renjer di hadapan mereka tersenyum. Macam-macam ragam! “Perhatian para pelajar! Saya mahu sambung taklimat saya tadi. Kali ini saya tak mahu satu bunyi pun dari kamu semua. Faham?!,” suara renjer tersebut di tinggikan sedikit pada hujung katanya.
          “Faham, tuan!”, semua pelajar hampir serentak menyahut.
          “Baiklah. Semua pelajar akan merentasi hutan gunung ini secara berkumpulan. Setiap ketua kumpulan akan di beri peta laluan kumpulan masing-masing bagi memudahkan perjalanan kamu semua nanti. Di samping itu, kami juga ada meletakkan simbol arrow pada pokok-pokok tertentu di sepanjang perjalanan masing-masing. Tetapi, kamu perlu peka akan warna arrow tersebut. Ikut arrow yang sama warna dengan warna kumpulan kamu yang telah saya tetapkan semalam.”
         Renjer itu menyambung lagi. “Kutip setiap bendera yang kamu jumpa di setiap check-point. Kesemuanya ada sepuluh check-point. Pastikan kesemua bendera kamu miliki. Setiap kumpulan mempunyai lalauan yang berbeza dengan kumpulan yang lain. Jangan sampai ada yang bertembung! Jika tidak kamu akan di isytiharkan kalah! Perkara paling penting ialah kerjasama dalam kumpulan. Jangan pernah tinggalkan ahli kumpulan kamu sendiri. Faham semua?!”.
          “Faham, tuan!”.
          “Kalau begitu, semua ketua kumpulan sila ke hadapan untu mengambil peta laluan kumpulan masing-masing. Dalam kiraan sepuluh, gerak!”.
          Seraya itu, semua pelajar bergerak dalam kumpulan masing-masing. Masing-masing mengikut arahan ketua kumpulan mereka. Haifa hanya menurut lemah arahan Wan Safwan selaku ketua kumpulan. Ternyata, Wan Safwan bijak mengatasi. Bagi mengelakkan ahli kumpulannya terpisah, dia meletakkan Zafri di belakang sekali untuk menjaga memantau dari belakang manakala empat pelajar perempuan berada di tengah. Haifa berada di hadapan Zafri manakala Afiqah di hadapannya. Bertambah malang hidup Haifa di apit musuh-musuhnya ini.
          Pergerakan Kumpulan Koala agak lambat. Suara-suara pelajar perempuan merungut tentang nyamuk yang menggila. Haifa mencebik. Kerana nyamuk seekor, riuh Afiqah segunung! Haifa buat tak tahu akan kerenah Afiqah dan dua lagi pelajar perempuan Tingkatan Lima. Membebel dari awal perjalanan tanpa henti. Tak penat ke?
         Haifa menyepak batu-batu kecil di tanah. Pandangannya meliar pelbagai arah menikmati keindahan hutan gunung ciptaan Allah Yang Maha Esa. Bukan selalu dapat peluang begini. Wan Safwan di hadapan memerhati segenap sudut bagi memastikan mereka dalam laluan yang sebenar. Zafri bersiul-siul halus sambil tangan menyeluk kocek.           
         “Awak, tali kasut awak terbuka tu..”, Zafri menegur perlahan Haifa di hadapannya.
          Haifa hanya buat sambil lewa. Tali kasut aku kau sibuk apa? Haifa masih meneruskan langkahnya sambil dibontoti Zafri di belakangnya.
          “Dbuk!”.
           Langkah semua ahli Kumpulan Koala terhenti. Semua berpusing ke belakang melihat Zafri yang jatuh tersungkur. Haifa menutup mulutnya yang terlopong.Wan Safwan pantas lari menuju ke arah Zafri yang cuba berdiri. Wan Safwan lantas membantu Zarif.
          “Kau okey?”, Wan Safwan bertanya cemas. Prihatin dengan keadaan rakannya itu. Zafri hanya menangguk. Dia menghulurkan kasut Haifa yang berada dalam genggamannya. Semua empat pasang mata tertumpu pada kasut di tangan Zafri. Pandangan Wan Safwan jatuh pada kaki kiri Haifa yang berkaki ayam.
         “Actually what’s happening? Can you please tell me, Haifa? Zafri?,” Wan Safwan sedikit bingung dengan situasi sekarang. Apa kaitan kasut Haifa sampai Zafri jatuh tersungkur?
          “Er.. er..”.
          “Ni, kasut Haifa terpelanting. Nasib aku sempat tepis, kalau tak percuma aje muka aku dapat cop rasmi tapak kasut Adidas. Mahal tu..”, Zafri sempat lagi berseloroh dengan Wan Safwan.
        Wan Safwan mengecilkan matanya.
         Jadi, macam mana boleh jatuh tersungkur pula?
         “Kau biar betul Is? Habis macam mana kau boleh jatuh tersungkur macam ni?”.
          Zafri tersenyum simpul. Tangannya laju menyapu tanah-tanah yang masih terlekat pada seluar dan bajunya.
         “Kalau bukan aku yang selamatkan, dah lama kasut ni jatuh dalam gaung tu. Yalah, aku tepis kuat sangat. Nasib sempat sambut. Cuma sekarang tunggu tuan punya kasut ucap terima kasih ajelah. Dari tadi aku tunggu, kasut dia pun dia tak nak”, Zafri tersenyum lagi sambil mengerling pada Haifa.
         Wan Safwan mengerti kata-kata rakannya itu. Tangan Zafri sudah lenguh menghulurkan kasut itu kepada Haifa. Haifa masih membantu.
          “Sebab kasut yang tak seberapa tu pun nak kecoh-kecoh? Dahlah sebab kasut murah tu juga kita semua bazir waktu tengok drama diorang. Sengaja nak bagi kalah kumpulan kitalah tu, sebab nak bagi kawan-kawan dia tu menang, kan?”, Afiqah bersuara sinis. Dari tadi dia membuat muka jelik melihat aksi hero si Zafri itu menyelamatkan kasut Haifa. Naik meluat aku!
          Haifa mengetap bibir. “Apa ni babitkan kawan-kawan aku pula? Diorang tak ada kena mengena pun okey! Bukan aku minta pun kau nak tengok drama kami ni. Kalau kau nak teruskan, yes, you can go ahead!”.
              Wan Safwan sudah gigit jari. Bukan dia tak tahu, dua orang manusia ni memang seteru! Pantang berjumpa pasti bertikam lidah. Dua lagi pelajar perempuan hanya berpeluk tubuh. Melihat cara mereka, mereka nampaknya memihak kepada Afiqah. Apa nak buat ni?
          “Er.. korang janganlah gaduh tengah-tengah hutan macam ni..”.
           “Kau diam!”. Kata-kata Wan Safwan pantas di potong dengan tengkingan Afiqah. Wan Safwan terus mengunci rapat mulutnya.
           “Hei, perempuan! Dekat sini tak ada lagi Adham nak bela kau macam dalam mesyuarat BDP selalu. Kau jangan nak tunjuk lagak pula dekat sini. Aku pun malas nak berlama-lama tengok perangai gedik kau dekat sini. Baik aku blah lagi bagus! Korang kalau nak duduk dengan perempuan ni, silakan. Aku jalan dulu”, Afiqah terus memalingkan tubuhnya kembali pada laluan jungle-trekking mereka.
          Dua lagi pelajar perempuan terus mengikut langkah Afiqah.
         “Kau ingat kau tu..”.
          “Haifa, dah sudah. Jangan bergaduh macam budak kecil. Sabar itu separuh daripada iman. Mana iman awak kalau asyik nak bergaduh aje? Dah, pakai kasut awak ni”, terus Haifa berhenti daripada meneruskan kata-katanya. Melihat wajah Zafri yang serius itu membuatkan Haifa tidak berani membalas. Terkumat-kamit mulutnya beristighfar. Acapkali dia hilang sabar apabila berhadapan dengan Afiqah. Huh..
        Pandangannya meleret pada Zafri. Kata dan nasihatnya persis Mr. Counselor. Terbit rindu pula di hati Haifa. Lebih seminggu mereka tidak bersua di alam maya.
          Kasut sukan jenama Adidas itu bertukar tangan. Tangan Haifa laju mengikat tali kasutnya. Terbit rasa sesal kerana tidak mendengar kata Zafri.
         Wan Safwan memandang Haifa. Kemudian, dia memandang trek laluan mereka. Kelibat Afiqah dan dua lagi pelajar perempuan itu sudah hilang. Zafri di sisinya segera di toleh. Kening di angkat dua kali. Tanda meminta pandangan.
           “Wan, baik kau ikut diorang. Nanti hilang pula. Diorang perempuan, bahaya”, Zafri memberi cadangan apabila melihat raut wajah rakannya itu yang kelihatan risau.
          Wan Safwan mengangguk sekali. Kakinya sudah ingin membuka langkah pergi namun terhenti. Dia berpaling kembali pada Zafri. “Kau dengan Haifa macam mana?”.
         “Kau jangan risaulah. Nanti kami follow dari belakang lepas Haifa selesai ikat tali kasut dia dulu. Tak apa, insyaAllah semuanya okey. Baik kau pergi sekarang”. Senyuman terukir di bibir Zafri. Biar keadaan tenang sekarang kerana dia tahu Wan Safwan sedang serabut memikirkan masalah ahli kumpulannya ini. Wan Safwan membalas senyuman itu.
          “Terima kasih, kawan!”.
           Wan Safwan berlari laju mengejar jejak Afiqah dan yang lain. Takut mereka tersesat pula. Akhirnya, Wan Safwan hilang dari pandangannya. Zafri kembali mengalih perhatian kepada Haifa yang sedang mengetatkan ikatan tali kasutnya. Haifa sedang tekun membongkok mengikat tali kasut di atas seketul batu besar.
           Zafri berpeluk tubuh. Perempuan.. emosi sukar di kawal sungguh! Allah Maha Bijaksana menciptakan Hawa pada setiap Adam. Memenuhi kekurangan sesuatu dengan yang lain.
            Haifa berdiri sambil membuang debu yang melekat di belakang seluarnya. Ikatan sweater di pinggangnya segera di ketatkan. Kakinya berlari-lari anak bagi memastikan kasut itu tidak membuat hal lagi. Buat malu aje!
          “Awak dah siap?”, Zafri bersuara. Haifa mengangguk sekali. Kemudian Haifa bergerak mendahului di depan. Tiada sebutir bicara keluar dari mulut Haifa. Zafri hanya mengikut langkah Haifa yang perlahan.

No comments:

Post a Comment