Sunday, 10 February 2013

Hyuenja Harina : Part VIII


      BAB 3: JALAN KELUAR
           “Awak ada pengalaman masuk hutan tak?”, Haifa bertanya dari belakang pokok tempat Zafri bersandar. Setelah sejam mencari jalan keluar, akhirnya mereka bertemu kembali tempat mereka berehat tadi.
          Zafri tersenyum. Jam tangan digital di pergelangan tangan kirinya sudah menunjukkan jam dua pagi. Namun Zafri sedikit pun tidak terasa mengantuk. Walaupun penat seharian berjalan, Zafri lebih seronok berkongsi cerita dengan Haifa.
          “Dulu masa saya sekolah rendah dekat Johor Bahru, saya ahli Persatuan Pengakap sekolah. Pernah sekali saya sertai perkhemahan anjuran sekolah. Tapi, tak ada jungle-trekking macam nilah. Kami trekking sekitar tapak kerkhemahan aje.” Zafri menceritakan pengalaman zaman kanak-kanaknya. Seronok mengenangkan keseronokan itu.
            “Tapi cara awak bawa saya ‘teroka’ Gunung Besar Hantu siang tadi nampak macam berpengalaman sangat. Huh..”, Haifa mencebik dalam senyumnya. Sekadar mengusik.
              Zafri mengecilkan matanya. “Hahaha.. Awak ni kan, nak ajak saya gaduh lagi ke? Nanti lari masuk semak lagi. Tak fasal-fasal nak kena kejar”.
          “Ala awak ni, nak mengusik pun tak boleh? Dia pula yang sensitif..”. Haifa tersenyum memerhatikan langit. Bulan tadi sudah tidak kelihatan. Awan sudah menutupinya.
          Zafri tertawa kecil. Sekarang dia makin nampak personiliti Haifa. Perwatakan Haifa sangat menarik. Walaupun wajah bujur sirih itu jarang menampakkan senyumannya, namun persahabatannya dengan Haifa membuatkan dia sedar yang gadis itu pandai mengambil hati orang dan senyumannya ternyata manis.
         Macam manalah nak buat dia hilangkan muka bengis dia tu? Kalau dia selalu mesra, tak marah-marah masa dekat sekolah mesti dia tak akan dibenci hampir majoriti pelajar sekolah kan? Mesti ada cara nak selesaikan masalah dia ni. Zafri sentiasa ingat tomahan-tomahan yang dia dengar tentang Haifa Harina pada hari pertama dia menjejakkan kaki di bumi Sekolah Bandar Mahkota. Semua rakan-rakan sekelasnya mengatakan cerita buruk soal Haifa. Cuma Adham, sahabat barunya kini merangkap Ketua Pengawas Sekolah yang menceritakan peribadi sebenar Haifa. Zafri yakin, Adham mengatakan perkara sebenar berbanding dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain. Kerana, Adham lebih mengenali Haifa berbanding mereka yang lain. Merekakan dalam satu Badan Disiplin dan Pengawas. Mesti Adham lebih arif, kan?
          “Meluatlah awak ni! Saya cakap sorang-sorang rupanya. Asyik termenung aje. Lepas tu senyum sorang-sorang. Meremang pula bulu roma saya tengok awak ni. Is!”, pantas tangan Haifa menolak keras bahu Zafri. Berangan pula mamat ni!
          Zafri terjatuh di atas beg di sisinya. Dia baru tersedar dari terus berkhayal tadi. “Saya dengarlah apa awak cakap tadi.  Bukan apa, terfikir juga saya kenapa awak selalu marah-marah dekat sekolah ya,? Pelik saya tengok awak ni. Sesat dalam hutan senyum pula!”.
          Satu keluhan di lepaskan. “Entahlah, saya rimas dengan pelajar-pelajar dekat sekolah tu. Terlalu banyak kesalahan disiplin. Selalu sangat buat masalah. Cuba dalam sehari aje diorang semua berperlakuan baik. Taklah saya selalu marah-marah”.
          “Itulah gunanya sabar, Haifa. Sabar itu separuh daripada iman. Macam saya selalu cakap..”.
           “Hidup tak seindah mimpi, harus kuat hadapi realiti”. Serentak Haifa mengungkapkan kata-kata azimat itu bersama Zafri. Kemudian, mereka sama-sama ketawa.
          “Tau pun. Tapi tak pernah nak cuba praktikkan, kan?”, Zafri bersuara dalam tawa yang masih bersisa.
          “Hei, saya sedang berusahalah ni. Sedikit-sebanyak saya makin berubah tahu”, Haifa cuba meyakinkan Zafri tentang perubahan dirinya.
           “Yalah tu, tadi masa Afiqah perlekeh awak sikit, awak dah melenting. Bukan main lagi ya awak ni? Itupun kalau saya tak jegil mata dekat awak, mesti awak nak balas balik kata-kata dia kan?”, Zafri makin ligat menyakat. Mahu melihat, sejauh mana tahap ‘kesabaran’ Haifa itu.
          “Fasal Afiqah siang tadi memang saya tak boleh tahan sangat. Dia tu menjengkelkanlah. Selalu nak tegakkan benang yang basah. Dia tu pun banyak buat masalah pada Badan Disiplin dan Pengawas. Walaupun dia tu Setiausaha kami, tapi saya rasa dia ada agenda di sebalik jawatan dia tu. Dia di lantik tu pun sebab Adham yang calonkan. Kalau bukan sebab Adham, saya dah lama tentang perlantikan dia tu. Saya cuma hormatkan Adham sebagai ketua saya aje. Tapi awak ingat tak masa awak tiba-tiba muncul dekat belakang saya, minta maaf dekat saya fasal adik awak tu? Saya tak melenting pun dekat awak, saya tahan aje. Ikutkan hati saya nak lempang aje awak masa tu sebab halang laluan saya. Geram pula saya dekat awak ni”, Haifa mengetap bibirnya. Sedikit mencerlung matanya.
          “Hahaha.. Awak nilah, memilih pula nak tahan sabar tu ya? Afiqah itulah cabaran utama awak. Lepas ni, awak tanamkan dalam diri awak cuba lebih bersabar apabila berhadapan dengan Afiqah. Saya tahu, awak sudah berubah ke arah itu. Tapi bagi pastikan awak berjaya, letakkan Afiqah sebagai cabaran terakhir awak. Awak bersabar dengan dia, maka awak berjaya dalam pertarungan sabar ni. Boleh?”, Zafri sudah merangka plan perubahan diri Haifa. Dia yakin, Haifa boleh!
          “Awak nak cabar sayalah ni? Satu pertarungan?”, Haifa bertanya curiga.
          “Kalau awak nak anggap ini sebagai suatu cabaran pun tak apa. Tapi ini bukan pertaruhan tau. Pertaruhan itu haram. Tapi ini cabaran ke arah kebaikan. Kalau awak menang saya bagi hadiah. Tapi rahsialah. Kalau awak menang cabaran tahap kesabaran awak ni, baru saya bagi. Mr. Counselor pasti suka kalau dia tahu. ”, Zafri tersenyum manis.
          Haifa mengalih pandangannya kepada Zafri. “Mengadalah awak ni. Guna nama Mr. Counselor pula”.
          Gadis itu tersenyum lagi. “Tapi kalau Mr. Counselor setuju, saya sahut cabaran ini!”.
          “Saya yakin, Mr. Counselor pasti setuju!”, Zafri bersuara semangat. Kedua-dua mereka tertawa lagi. Suasana malam yang sunyi pecah dek tawa mereka. Persahabatan yang mula di semai, mula menambahkan benih-benih ukhwah.
          Zafri tersenyum sendirian. Semoga rancangannya berjaya!


***
          Mata Zafri terasa berat untuk di buka. Panahan sinaran matahari yang terik membuat matanya berpinar-pinar. Segera dia mengesat matanya. Tangannya teraba-raba mencari backpacknya. Sepatutnya ada dekat sini, mana pula dia? Zafri hairan, dia amat yakin backpacknya berada di sisinya semalam sebelum dia terlelap. Pagi ni hilang pula.
          Kedua-dua tangannya mencekak pinggang. Bibirnya meleret senyuman. Dalam terasa mamai lagi, dia terlihat satu figura. Di sebalik pokok besar tempat dia bersandar semalam, Haifa masih lena diulit mimpi. Backpack Zafri berada di bawah kepala Haifa sebagai alas kepala manakala backpack Haifa sendiri di jadikan bantal peluk.
          “Aih, jadi bantal dia pula. Empuk sangat ke tu?”, Zafri mengomel sendirian dari jauh sambil merenung Haifa dari jauh.
           Zafri segera mengalih pandangan pada jam digitalnya. 9.30 pagi. Dah lewat ni, kalau biar dia tidur lagi lama alamat tak keluarlah kami dari dalam hutan ni. Zafri memikir-mikir cara mengejutkan Haifa dari ulit mimpinya itu.
           Kalau aku gerak-gerakkan dia tak manislah pula. Aku dahlah bukan muhrim dia. Kalau aku baling batu boleh tak, ya? Bahayalah pula. Cucuk-cucuk dengan kayu ajelah. Lebih alternatif!
          Zafri bergerak ke arah semak berdekatan. Kayu kecil yang agak panjang satu meter segera di capai. Hulu kayu kecil di tumpulkan dengan penknife dari dalam poket seluarnya. Kalau tajam nanti, luka pula si Haifa tu. Pengalaman sebagai ahli Pengakap di sekolah rendah dahulu dapat dipraktikkan. Penknife dan mancis perlu sentiasa bersama sekiranya berada di dalam hutan. Manalah tahu ada kecemasan. Macam nilah. Nak tumpulkan hulu kayu pun kecemasan tahu tak?
          Zafri bergerak perlahan ke arah Haifa yang sedang terbaring memeluk backpacknya. Zafri mencangkung.Dari jarak satu meter, Zafri mencuit bahu Haifa. Haifa hanya menepis dan kembali menyambung lena. Zafri mencuit pula pipi Haifa. Reaksi Haifa tetap sama. Ingat ni nyamuk ke, hah? Zafri membebel dengan suara hatinya.
           Zafri kembali berdiri. Kayu kecil itu lalu di patahkan. Taktik tak menjadi!
          Zafri tersenyum meleret. Satu idea bernas menerjah fikirannya. Ini pasti menjadi punya! Zafri bergerak mendekati Haifa. Setapak demi setapak. Kini, dia hanya jarak dua puluh sentimeter dari tempat Haifa mengulit mimpi. Kedua-dua belah tapak tangannya di gesel-gesel bersama. Zafri menarik nafas dalam-dalam.
          “Harimau! Harimau! Lari, ada harimau!”.
          Zafri berlari mengelilingi Haifa sambil terpekik-pekik. Haifa terjaga dari lenanya. Terus hilang rasa ngantuk yang menguasai. Haifa turut berlari mengikut langkah Zafri. Haifa menjerit sama. Zafri terus memekik-mekik lagi. Mulutnya mengukir senyuman sinis. Dia tahu kali ini pasti dia berjaya.
          Langkah Haifa terhenti. Dia hanya memerhati Zafri yang masih berlari sambil terpekik-pekik dengan mata yang mencerlung. Zafri terhenti di hadapan Haifa. Wajah Haifa berkerut. Matanya sembab dek terlalu terkejut. Tudungnya senget. Bibirnya langsung tidak mengukirkan senyuman.
          “Harimau? Mana harimau awak tu?! Mana? Mana? Awak tak ada kerja lain dah ke, hah?!”, nada Haifa meninggi. Nada yang sama ketika Haifa mengamuk di hadapan pintu pagar sekolah seminggu yang lepas. Dengusan nafas Haifa kedengaran keras sehingga ke gegendang telinga Zafri.
          Zafri tertunduk. Dia baru sedar yang dia telah membangkitkan kemarahan Haifa. Haifa tidak boleh di salahkan memandang tindakan Zafri agak keterlaluan. Mungkin Haifa terlalu penat sehingga terlebih tidur. Zafri mengunci rapat bibirnya. Keadaan yang sama seperti di marah Zarif.
          “Mana? Mana harimau awak tu?!”. Haifa menjerit lagi. Bibirnya di ketap rapat. Mahu di cekik-cekik sahaja Zafri yang sedang berdiri di hadapannya.
          “Huh!”.
          Haifa menjeling 180 darjah. Kakinya laju mengatur langkah pergi mendapatkan backpacknya. Sewaktu dia terjaga dari tidur tadi, backpack yang berada dalam pelukannya serta-merta terpelanting jauh akibat terlalu terkejut akibat penangan suara Zafri yang bingit itu.
          Zip itu di buka rakus. Sebotol air mineral di capai. Tidak sampai beberapa saat, air mineral di dalam botol itu sudah habis. Semalaman tersesat di hutan ini telah menghabiskan tiga botol sahaja. Haifa terlalu penat berjalan tanpa henti. Rehatnya juga sekadar tidur empat jam sementalah bersembang bersama Zafri sepanjang malam. Aih, sampai bilalah aku dengan dia nak sesat di dalam hutan ni? Satu keluhan berat di lepaskan. Matanya menangkap kelibat Zafri yang menyendiri di bawah sebatang pokok bersama backpacknya. Zafri kelihatan leka mencari sesuatu di dalam backpacknya.
          “Hei orang seberang, tak tahu nak minta maaf dekat saya ke?”, Haifa melaung dari jauh kerana jarak kedudukan mereka dalam lima meter.
          Zafri mengangkat muka memandang Haifa. Senyuman manis terukir segaris. “Hehe.. Saya minta maaf ya. Saya tak terniat  pun nak buat macam tu. Saya cuma nak beg saya aje. Saya dah gerakkan awak tadi, tapi awak tak sedar pun. Itu aje pilihan yang saya ada. Maaf ya?”.
          Haifa terlopong. Dia dah gerakkan aku tapi aku tak sedar? Macam manalah boleh tak sedar, dahlah tidur lambat. Penat pula tu! Ajak aku bersembang sampai pukul empat pagi. Kalih-kalih, tengok dia yang terlelap dulu. Hampeh!
            “Erm, tengoklah dulu saya nak maafkan ke tak. So, apa plan kita hari ni? Awak ada fikir apa-apa rancangan untuk kita keluar dari hutan ni? Awakkan ahli Pengakap dulu..”, Haifa bersuara sinis sambil berpeluk tubuh. Dia sudah berdiri dan siap untuk meneruskan perjalanan mereka hari ini. Haraplah dapat keluar hari ni.     
          Mata Zafri membulat memandang Haifa. Marah benar Haifa kepadanya. “Saya ada idea. Tapi kalau awak sudi maafkan saya baru saya bagi tahu”.
          Pandangan tajam di berikan kepada Zafri. Bagi kata dua pula dekat aku. Patutnya aku yang buat macam tu! Mengalah ajelah, lagipun aku kan tengah berlatih tahap kesabaran aku. Mungkin dia nak uji aku aje kot. Kalau nak menang kena ikut cakap dia ajelah. Baik ikut aje cara dia.  
           “Okey, saya maafkan”.
           “Macam tak ikhlas aje..”, Zafri memuncungkan mulutnya.
           “Awak nak saya cakap macam mana lagi? Ikhlaslah ni”, Haifa bersuara keras sambil bercekak pinggang menghadap Zafri.
           “Okey, okey. Kira ikhlaslah tu. Okey, kalau ikut rancangan saya, kita kena patah balik dan ambil trek sebelah kanan. Trek yang sepatutnya kita lalui. Tapi itu mengambil masa lebih daripada sehari. Kalau kita bernasib baik, mungkin kita akan terjumpa polis dalam perjalanan kita tu. Cikgu mesti dah buat laporan polis memandangkan kita sudah tersesat lebih dari sehari”, Zafri mengutarakan rancangannya.
          Haifa mengherotkan bibirnya ke kiri dan ke kanan. Seperti memikirkan sesuatu. “Awak tak rasa ke kita bakal mempertaruhkan nyawa kita kalau kita patah balik? Itupun kalau kita jumpa pihak berkuasa baru kita selamat. Macam mana kalau kita tak jumpa sesiapa pun? Saya sudah kehabisan air. Dan tak mungkin saya mampu bertahan untuk sehari. Awak ada rancangan lain?”. Haifa bersuara serius. Kali ini dia tidak boleh main-main lagi. Hari ini menentu takdirnya.
           “Ada. Kita teruskan perjalanan dengan misi mencari sungai. Air sangat penting untuk kita. Kalau kita kekurangan air, mungkin kita dehidrasi. Seboleh-bolehnya kita patut elakkan. Tetapi, pada masa yang sama kita akan usahakan mencari jalan keluar. Sebenarnya denai dalam hutan macam jalan raya juga. Berliku-liku dan akhirnya kita temukan destinasi kita walaupun mengambil laluan yang berbeza. Cuma tempoh yang menjarakkan kita. Apa pendapat awak?”.
          “Saya rasa itu yang terbaik. Tetapi saya ikut awak aje. Awak lebih arif”.
         Nampaknya, gadis genit itu sudah memberi kerjasama dengannya. Baru kena ceramah semalam, dah berubah hari ni. Harap berkekalanlah sifat dia ni. 

“Bagi saya, rancangan kedua tu lebih berbaloi. Saya pun tak mahu pertaruhkan nyawa saya. Baiklah, kita teruskan perjalanan kita mengikut rancangan kedua tu. Jom, kita gerak”. 

No comments:

Post a Comment