Afiqah tersenyum leret. Kau ingat kau bagus sangat? Kau tak kenal Fiqa
lagi tahu. Kau rasa kau paling hebat? Sekarang aku biarkan kau rasa!
Afiqah berada pada barisan belakang sekali. Muka Wan Safwan
berkerut-kerut meneliti peta trek laluan mereka. Jauh di belakang Afiqah tidak
nampak lagi ‘batang hidung’ Haifa mahupun Zafri. Senyumannya meleret lagi.
Mereka baru sahaja melepasi checkpoint kedua. Bendera berwarna
biru yang di ikat sekali bersama kertas tertera lambang arrow segera di
capai Wan Safwan. Idea jahat tiba-tiba muncul di benak Afiqah. Setelah Wan
Safwan dan dua lagi pelajar perempuan itu sedikit menjauh ke hadapan, tangannya
pantas mencabut kertas itu. Segera di sorokkan di dalam begnya. Haraplah Wan Safwan
tak nampak.
“Fiqa, awak buat apa lagi dekat belakang tu? Tadi kata lambat. Sekarang
siapa yang melambatkan? Kenapa, risaukan Haifa ke?”, Wan Safwan bersuara sambil
mengangkat kening dua kali.
Afiqah
mencebik.“Tak ada masa nak risaukan dia. Dah jom, teruskan perjalanan”. Afiqah
tersenyum sinis. Baru kau rasa Haifa! Puas hati aku!
***
“Kita nak lalu trek yang mana ni? Tak ada lambang arrow pun..”,
Haifa bersuara risau. Zafri yang sedang bersiul halus di belakang Haifa segera
ke depan berada di sisi Haifa. Zafri tergaru-garu kepalanya. Ada dua laluan di
hadapan mereka sekarang. Kiri dan kanan. Setelah lima belas minit perjalanan
mereka berdua, mereka masih tidak menemui Wan Safwan dan lain-lain. Mata Zafri
melilau mencari jejak yang di tinggalkan ahli kumpulannya. Namun, hampa. Jejak
mereka langsung tak kelihatan.
“Awak, fikirlah!”, Haifa sudah meninggi suara. Melihat Zafri yang hanya
tergaru-garu kepala membuatkan Haifa geram. Zafri segera menoleh. Jelas riak
risau terpancar di wajah Haifa. Haifa sudah terduduk di sebuah batu besar di
situ. Segera begnya di buka dan mengeluarkan sebotol air. Rakus Haifa menelan
air mineral itu.
“Kalau saya kata kita bakal sesat macam mana?”, Zafri sekadar menduga.
“Awak jangan main-main dalam hutan ni, boleh
tak? Saya tak mau sesat dengan awak dalam hutan ni!”. Haifa mendengus kasar. “Sekarang
decide laluan mana kita nak ambil!”.
“Kenapa saya pula? Kita sekarang sepasukan. Apa-apa keputusan kita ambil
sama-sama”, Zafri cuba untuk bertegas. Dia tidak mahu di persalahkan andai
salah memilih laluan.
“Kalau sesat?”.
“Kita sama-sama sesat. Susah senang kita sepasukan, Haifa”.
Haifa menghela nafas. Pastinya keputusan ini begitu sukar diambil. Ini
antara hidup dan mati!
“Sekarang kita nak ambil laluan mana?”, Haifa bersuara lemah. Dia hanya
berserah kepada takdir. Jika takdir menyebelahinya, insya-Allah dia tidak akan
mati dibaham harimau dalam hutan ni!
“Kanan!”.
“Kenapa
kanan? Kirilah!”, Haifa membangkang. Mana boleh kalau kena ikut cakap dia!
“Awak tau tak kanan itu lebih afdal? Tangan kanan jugalah yang
mendahului tangan kiri untuk berwudu’. Kaki kanan jugalah yang mendahului kaki
kiri untuk masuk ke dalam masjid. Awak tau tak?”, Zafri sedaya-upaya mahu
membidas Haifa. Kali ni, aku takkan biarkan kau menang!
Haifa menggigit bibir. Apa lagi alasan untuk dia menyokong pendiriannya?
“Itu dalam situasi lain. Sekarang kita situasi lain. Saya tak kira, saya nak
ikut trek kiri juga! Muktamad!”. Suara Haifa begitu nyaring sehingga
burung-burung yang enak berkicauan terbang menjauh!
“Awak ni Islam ke tak, hah? Kalau Islam, ikutlah panduan Islam. Buat apa
nak membangkang lagi?”, Zafri sengaja menekankan suaranya. Biar Haifa tahu aku
pun ‘garang’ juga tahu.
“I
don’t care!”.
“Ada aku peduli? Kanan
juga!”. Sekali-sekala kata-kata Zarif boleh digunakan juga. Hehe..
“Kiri!”.
“Kanan! Kanan! Kanan! Kanan! Kanan!”.
“Bisinglah awak ni. Macam perangai budak-budak tau? Nak menang juga tu? Sejak
bila awak mengada-ngada ni, hah?”, Haifa sudah naik meluat dengan perangai
Zafri. Tangannya menekup kedua-dua belah telinganya. Bingit sungguh suara mamat
ni. “Erm.. apa kata kita ‘osom’? Baru adil. Siapa yang menang, kita ikut trek
pilihan dia. Apa macam?”. Akhirnya, Haifa bertoleransi. Keningnya diangkat dua
kali.
Zafri tersengih. Luntur juga ego kau, Haifa. “Mana yang lebih adil, saya
ikut aje”. Zafri tersenyum simpul. Haifa mengangkat kening dua kali lagi. Aku
pakar ‘osom’ tau!
“O...som!”. Bergema suara Haifa dan Zafri.
“Yahoo, saya menang. Kanan!”. Zafri sudah menghayun langkah luas menuju
ke trek sebelah kanan. Senyumannya melebar sehingga ke telinga. Kemenangan
mutlak milik Zafri Iskandar! Dia mengangkat kening dua kali pada Haifa. Meniru
gaya Haifa.
“Ini tak adil! Tak adil! Tak adil!”. Haifa mendengus sambil menghentak-hentak
kainya ke tanah seperti budak-budak yang mahukan gula-gula. Langkahan Zafri
terhenti. Terus dia memusingkan tubuh menghadap Haifa. Dia sudah menduga Haifa
akan membangkang. Haifa.. memang macam tu perangainya. “Kau sengaja buat-buat
lambat, kan? Kau nak tengok aku buat bentuk apa dulu baru kau buat, kan? Aku
taulah perangai buruk kau tu. Kau aje yang nak menang!”.
Aik, dia cakap macam tu dekat aku? ‘Kau aje yang nak menang’? Amboi, tak
sedar diri sungguh cakap dekat aku. Dia yang buat perangai macam tu. Zafri
sudah memeluk tubuh. Matanya dikecilkan. Tajam dia merenung Haifa di
hadapannya.
“Apa tengok-tengok orang macam tu? Ingat lawalah buat muka macam tu?”,
Haifa menjeling tajam Zafri. Sikap toleransi Haifa tadi sudah hilang! Aku nak
menang juga walau apa sekalipun!
“Awak tak puas hati apa lagi? Bila masa
pula saya buat macam tu? Awak nilah, tadi awak kata ni yang paling adil. Sekarang
awak nak ‘osom’ lagi? Sampai awak menang baru awak puas hati? Macam nilah, awak
nak jalan trek kiri kan, silakan. Saya ikut awak ajelah. Malas dah saya nak
bertekak. Kalau lawan awak pun, belum tentu awak nak dengar cakap saya. Dah,
jom”, Zafri sudah mendahului jalan di hadapan. Dia sudah tidak mahu bertekak
lagi. Lagi lama bergaduh, lagi lamalah nak sampai.
Haifa memuncungkan mulutnya. Kesian pula dengar ayat dia ni. Huh, peduli
apa aku! Asalkan dia ikut juga cakap aku.
***
Kau
nak mati, ya? Rasakan!
“Pak!”. Mampus kau! Haifa menjentik bangkai nyamuk yang melekat di
lengannya. Kesan darah yang melekat pada lengan Haifa dilap dengan hujung
tangan bajunya. Berapa liter darah dah aku sedekahkan dekat keturunan kau? Mulia
tak hati aku? Berbintat-bintat dah badan aku, tau? Haifa mengomel di dalam
hati. Baik cakap dengan nyamuk daripada cakap dengan makhluk dekat depan ni.
Bukan nak balas pun! Merajuklah tu.
Zafri mengerling sedikit ke belakang. Macam-macam songeh! Zafri sudah
hilang mood. Zafri yakin mereka sudah tersasar jauh daripada lalauan sebenar.
Apa nak buat, dah jauh ke dalam ni. Kalau nak patah balik, kena gaduh dulu
dengan Hulk ni. Aduh..
“Jauh lagi ke? Dah nak senja ni. Takkan tak sampai-sampai lagi? Tengok
cara macam hebat sangat tadi..”, Haifa bersuara buat kesekian kali. Sudah
berulang kali dia mahu mengajak Zafri berbual, tetapi Zafri sengaja buat
dingin.
Zafri menghela nafas. Sengaja nak cabar kesabaran aku sungguh! “Cik Haifa
sayang, nampak sangat awak dah salah pilih jalan. Kita dah sesat! Sesat! Faham
tak?”. Dalam nada ‘romantik’ Zafri tetap bertegas. Biar dia tahu ni semua salah
dia!
“Awak nak salahkan sayalah ni? Saya tak suruh pun awak ikut saya! Awak
yang nak ikut sangat”, Haifa mencebikkan mulutnya.
“Jadi, awak nak kata ni salah sayalah, ya? Awak tak mau terima kekalahan
awak. Awak desak saya suruh ikut pilihan awak juga. Awak masih nak salahkan
saya lagi? Haifa, saya tak minta pun nak sesat dengan awak. Kalau boleh saya
tak mau sesat pun dalam hutan ni. Tapi Allah dah tulis saya akan sesat dalam
hutan ni juga. Dan saya tak malas nak salahkan awak. Cuma ego awak banyak
mencabar saya. Satu aje saya minta, Haifa. Tolong jangan tambah serabutkan lagi
kepala otak saya. Saya tak mau selamanya sesat dalam hutan ni”.
Zafri bersuara lemah. Sedikit pun dia tidak berpaling memandang Haifa.
Dia amat berharap Haifa akan faham. Dari tadi Zafri cuba mencari penyelesaian
untuk keluar dari hutan ini. Cuma satu dalam fikirannya, patah balik dan ambil
trek sebelah kanan. Tetapi, itu memerlukan waktu yang banyak. Jauh sekali
mereka ke dalam hutan. Zafri teramat yakin, jika trek kiri salah maka kanan
pilihannya. Andai mereka di laluan yang betul, sudah tentu mereka sudah tiba di
checkpoint terakhir. Tidak mungkin sahingga senja jarak perjalanan mereka.
Ini tidak, satu chekpoint pun tak jumpa.
Haifa menggigit bibir. Nangis ke mamat ni?
Alamak, apa nak buat ni? Kena pujuk ke?
“Awak..”. Haifa cuba meraih perhatian Zafri.
“Is..”. Cubaan kedua.
“Zafri Iskandar..”. Ketiga.
Tiada yang keempat bagi Haifa Harina.
“Muhammad Zafri Iskandar!”.
“Apa lagi yang awak nak? Tak habis-habis nak susahkan saya lagi ke?!”,
kali ini Zafri pula yang naik angin. Zafri sudah memalingkan tubuhnya menghadap
Haifa dengan muka yang merah. Haifa terkedu. Segera ditundukkan pandangannya.
Gerun pula tengok muka orang yang tak pernah marah tiba-tiba marah!
Zafri kembali berpaling dan meneruskan haluannya. Haifa terus terduduk.
Kenapa dia marah? Niat di hati Haifa cuma ingin berbaik semula. Tak seronok
gaduh-gaduh. Tak ada kawan nak bersembang. Takkan asyik bercakap dengan nyamuk
aje kot? Tetapi, tiba-tiba aje Zafri naik angin. Habis terpadam niat murninya
tadi.
Terasa air hangat mengalir dipipinya. Walaupun nampak keras dan kebal
dari luarannya, namun Haifa juga seorang gadis yang sensitif. Kadang-kadang
Haifa menangis sendirian jika bertikam lidah dengan seseorang. Bantalnya juga
yang sudi mendengar. Haifa pantas menyeka air matanya. Kalau Zarif nampak ni,
tak fasal-fasal kena gelak tergolek dengan dia. Kenapa nak marah aku?
“Prak”. Mengeras seluruh tubuh Haifa. Beruang ke? Kalau patung beruang
tak apa juga, boleh tambah koleksi patuang beruang yang sememangnya sudah
melimpah ruah dalam bilik aku tu. Haifa menelan liur. Gadis itu sudah gerun. Bulu
romanya tinggi menegak. Haifa masih teringat kata-kata usikan renjer semasa
pertama kali mereka semua menjejakkan kaki di tapak perkhemahan Gunung Besar
Hantu.
“Setiap kali aktiviti diadakan, awak
mesti dengar arahan saya baik-baik. Sekali awak langgar, buruk padahnya. Berani
awak buat fasal, habislah. Saya dah lama berkawan dengan gunung ni. Semua
kawan-kawan saya ada dalam hutan ni. Sebut aje, gajah, harimau, beruang. Semua
ada. Tapi beruang lagi banyaklah. Lagi-lagi beruang matahari..”.
“Tapi bukan ke beruang matahari ada
dekat negara Barat aje. Kalau dekat Malaysia, ada dekat zoo ajelah. Sebab hutan
kita tak sesuai dengan habitat dia”, Shira mencelah sambil mengangkat tangan. Berhemah
juga kawan aku ni. Selalu main redah aje!
“Awak tau apa, saya ada menternak
spesies tu dekat sini. Kalau awak jumpa dia, maaflah. Takkan selamat punya.
Beruang saya takkan pernah lepaskan awak. Makanan percuma depan mata, takkan tak
mahu. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Jadi, jangan ingat awak akan
selamat kalau merayap tak tentu hala dekat dalam hutan ni. Kalau setakat tapak
perkhemahan ni tak apa. Sebab dia tak berani masuk”. Renjer itu tersenyum
kambing.
Haifa tidak berani mengangkat wajah. Tak fasal-fasal jadi makan malam
beruang. Ya Allah, inikah penamat hidupku? Dalam hati, Haifa berdoa agar
selamat dari sebarang ancaman. Amin..
“Saya minta maaf”. Wah, beruang boleh cakap macam suara Islah! Haifa
tersenyum. Segera dia mengangkat wajah. Wajah keruh Zafri tadi sudah berubah
manis dengun senyuman terukir yang menampakkan lesung pipitnya.
“Saya yang perlu minta maaf. Saya banyak tambah beban dekat awak. Saya
minta maaf, awak”, Haifa bersuara perlahan sambil memandang seraut manis
kepunyaan Zafri.
Senyuman di bibir Zafri masih tidak lekang. Segera dia mengambil tempat
di sisi Haifa. “Small matter. Saya sengaja nak test awak tadi.
Sensitif juga awak ni, ya?”. Zafri ketawa kecil di hujung ayatnya. Mencerlung
mata Haifa.
“Jahatlah awak ni!”, Haifa turut ketawa. Kantoi perangainya itu di depan
Zafri. Mereka sama-sama tergelak. Suasana suram sepanjang perjalanan tadi sudah
berbunga riang. “Dah senja ni. Malam ni kita kena tidur dalam hutanlah ya?”.
Zafri terdiam.
***
“Cantikkan bulan tu?”, jari telunjuk
Zafri lurus pada bulan yang mengambang di dada langit. Malam itu memang indah.
Bintang-bintang di sekeliling bulan itu turut mencantikkan lagi malam Zafri dan
Haifa ‘menginap’ didalam hutan.
“Cantik. Cantik sangat”. Haifa mendongak ke langit. SubhanAllah.. Haifa
bersuara di balik pokok tempat mereka bersandar. Haifa bersandar pada pokok
yang sama disandar Zafri cuma berada bersetentang di belakang Zafri. “Bagai
bulan dipagar bintang. Macam tulah orang tua-tua gambarkan”. Haifa menambah
lagi.
“Apa
maksud peribahasa ‘bulan dipagar bintang’? Maaflah, saya dalam penguasaan
bahasa memang kurang. Kalau subjek sains dan matematik, bolehlah”, Zafri tidak
berasa segan apabila mengakui kekurangan diri. Setiap saat adalah ruang
menambah ilmu. Itu prinsipnya.
“Seseorang
yang cantik, dikelilingi mereka yang cantik juga. Macam adik awaklah. Adik awak
tu, baru sehari datang sekolah ni terus jadi popular. Yalah, orang handsome.
Budak-budak perempuan pun nak menghimpitlah. Tapi, tengok cara dia macam tak
bergaul dengan orang sangat. Senyum dia mahal sangat ke?”, Haifa membuat
konklusi dari apa yang dilihatnya sepanjang dua minggu Zarif di sekolahnya.
Bukan mahu membezakan Zarif dan abangnya, tetapi populariti Zarif lebih
menyerlah berbanding Zafri. Mungkin kedua-duanya mempunyai kelebihan dengan
raut wajah yang tampan, namun Zarif mempunyai aura tersendiri. Tanpa sedikit
senyuman pun yang terukir, pelajar perempuan di sekolah menganggapnya sebagai cool.
Tidak seperti Zafri, dia menutup ketempanannya melalui kaca mata yang di pakai.
Lebih low-profile. Walau bagaimanapun, masing-masing ada peminat
sendiri. Itu tanggapan Haifa.
“Ooo.. macam tu rupanya. Zarif ni bukan jenis sosial sangat. Dia kurang
skill nak berkawan. Dia susah nak dapat kawan sikit. Tengoklah muka dia tu. Masam
aje. Setiap sekolah yang dia pindah, dia hanya akan berkawan dengan orang yang
duduk sebelah dia aje. Itupun takkan rapat sangat”, Zafri bersuara lemah
apabila teringatkan satu-satunya adik yang dia punya.
“Setiap
sekolah yang dia pindah? Kenapa dia kena pindah? Nampak macam dia selalu buat
masalah aje. Ah, malaslah nak ambil tahu fasal dia. Geram sangat bila teringat
apa dia cakap dekat saya hari pertama korang datang sekolah ni. Huh!”. Haifa
mendengus. Mamat tu kan!
“Hahaha.. Awak masih marahkan dia ke? Kalau awak bertuah, awak akan
bangga menjadi seseorang yang mengenali Zarif Ilham. Sebagai seorang abang,
saya rasa dia sangat unik. Awak pasti teruja bila berkawan dengan dia. Saya
tengok awak dengan dia tak ada beza pun. Sama aje dua-dua”. Zafri ketawa besar.
Memang sama! Dua-dua panas baran, dua-dua ego!
“Jangan nak samakan saya dengan dia, okey? Jauh panggang dari api! Saya
tak ingin langsung berkawan dengan orang macam dia tu. Tak ada yang unik
langsung! Bagi saya, berkawan dengan dia perkara paling malang dalam hidup
saya!”.
Zafri
masih beriak tenang. “Macam saya kata tadi, awak akan bangga bila diberi peluang
mengenali dia nanti. Awak tengok ajelah nanti. Kadang-kadang, apa yang kita
ungkapkan sekarang akan kita sesali kemudian hari. Awak belum selesai meneroka
lagi, Haifa”, Zafri bermain-main kata. Sememangnya dia tidak arif dalam bidang
bahasa, namun dia mahir dalam menyampaikan kata.
“Apa maksud awak saya belum selesai meneroka lagi?”, Haifa bertanya
curiga.
“Terlalu banyak perkara yang dihujani kepada kita. Namun, semua tu tak
pernah cukup untuk mematangkan kita. Kita anggap hidup kita sudah sempurna,
tapi rasanya hidup di kehidupan akan datang sudah cukup sempurna? Benda tu tak
ramai yang ambil berat. Memang, semua manusia impikan sebuah kehidupan di alam
fantasi. Selalu juga saya ingatkan diri, hidup tak seindah mimpi, harus kuat
hadapi realiti. Realiti tak seindah mimpi. Dan mimpi hanya satu fantasi.
Dongeng”. Zafri menamatkan butir bicaranya. Sungguh hebat bermadah!
Haifa terdiam. Maksudnya amat mendalam. Cuma satu dalam fikirannya.
‘Hidup tak seindah mimpi, harus kuat hadapi realiti’? Ayat tu pernah dia dengar
dulu. Tapi, dekat mana, ya? Kepalanya ligat berfikir. Fikir, fikir, fikir!
“Awak? Awak dengar tak apa yang saya cakap tadi? Awak? Tidur dah ke?”,
Zafri bangun ke tempat Haifa. Haifa sedang tertunduk sambil memegang kepala.
Apa yang dia tengah buat ni?
“Awak?”.
“Mr.
Counselor? Awak Mr. Counselor, kan? Kan?” Haifa terus berdiri dari
silanya. Kini, dua pasang mata bertentang mata. Zafri sudah tercengang-cengang.
Aku tersalah cakap ke tadi?
Haifa
mengetap bibir. “Baik awak mengaku, awak Mr. Counselor kan? Mengaku
cepat!”, lantunan suara Haifa memecah kesunyian detik tengah malam itu.
Mata Zafri sudah terbeliak. Terus dia menekup mulut Haifa dengan
kedua-dua belah tangannya. Haifa sedikit terdorong ke belakang.
Haifa pula terkejut dengan perlakuan pantas Zafri itu. Haifa
meronta-ronta minta dilepaskan. Makin kuat tangan Zafri menekan. Haifa sedaya
upaya menolak tangan Zafri. Apa yang mamat ni cuba buat dekat aku? Ya Allah,
selamatkanlah hambaMu ini.
“Apa
awak cuba buat ni, hah?!”. Akhirnya, Haifa berjaya meloloskan diri. Nafasnya
turun naik. Haifa mengundur ke belakang setapak. Badannya sudah melekap pada
batang pokok tempat dia bersandar tadi.
Jari telunjuk Zafri pula melekap pada bibir Haifa. Ish, perempuan nilah.
“Kalau awak jerit lagi sekali, saya ikat mulut awak. Dahlah suara nyaring,
jerit tengah-tengah hutan ni. Nak suruh harimau terjaga makan awak sekarang?
Hah?!”, nada suara Zafri agak keras namun dia masih mengawal nada suaranya.
Haifa menepis tangan Zafri. “Kalau ya pun, janganlah tekup mulut orang
sampai macam tu. Ingatkan nak buat apa tadi”.
“Saya masih ada imanlah. Awak ingat saya ni lelaki spesies tu ke?
Baik-baik sikit, ya”, Zafri bersuara sinis. Dia memalingkan tubuhnya
membelakangkan Haifa.
Whatever..
aku tak mahu ambil tau pun. “Awak belum jawab soalan saya? Awak Mr. Counselor
kan?”. Dia baru teringat butir bicara mereka tadi. Haifa bergerak berhadapan
dengan Zafri. Dia mahukan pengakuan!
“Apa awak merapu dari tadi? Mr. Counselor? Siapa Mr. Counselor?”,
Zafri berpura-pura buat tidak tahu. Aku takkan mengaku!
“Awak jangan tipu saya! Ayat tu, cuma dia aje yang tahu. Baik awak
mengaku sekarang”, kali ini suara Haifa sudah tidak melantun tinggi. Walaupun
keras, masih dapat dikawal!
“Ayat apa pula? Saya cakap aje mana yang saya tahu. Manalah saya tahu Mr.
Counselor awak pun guna ayat tu. Dia yang tiru saya..”, Zafri bersuara
selamba. Dia bergerak beberapa langkah ke belakang.
“Saya
cuma mahukan pengakuan awak sebagai Mr. Counselor aje. Itu pun susah ke?
Permintaan saya tak berat pun..”, Haifa cuba bertoleransi pula kali ini.
Mudah-mudahan.
‘Susah
Haifa, susah. Saya takut kebenaran ni akan mengubah persahabatan yang mula kita
semai ni, Haifa. Saya takut menghadapi kebenaran itu..’, Zafri hanya mampu
bersuara di dalam hati. Hatinya menjerit. Mulutnya terkunci.
“Saya nak mengaku apa kalau itu bukan saya. Susahlah awak ni”, Zafri
sedikit mendengus. Dia harus membuatkan lakonannya nampak benar. Terus dia
menghayun langkah menjauh dari Haifa. Haifa tidak menurut langkahan Zafri.
“Okey. Kalau tak nak mengaku, tak apa. Tak apa”.
Haifa berpusing ke belakang. Dia bergerak meninggalkan pokok tempat
mereka bersandar tadi dan terus menghilang ke dalam semak. Haifa sendiri tidak
tahu apa yang dilakukakannya ini. Yang dia tahu, dia hanya terus melangkah
dengan gerak hatinya. Namun, riak takut masih terpamer di muka Haifa. Siapa tak
takut redah semak malam-malam buta macam ni? Tetapi, gadis itu sanggup meredah
kepekatan malam demi ego yang menggunung!
Zafri tersenyum. Nampaknya Haifa sudah berhenti dari terus mendesak.
Segera dia memalingkan tubuh. Mana dia? Sekujur figura Haifa sudah hilang dari
pandangannya. Telinga Zafri tidak menangkap bunyi tapak kaki Haifa melangkah.
Entah-entah kena bawa lari bunian!
“Haifa! Haifa! Haifa! Jangan buat saya macam ni, Haifa. Kita tak tau
selok-belok hutan ni. Haifa, jangan buat perangai macam budak-budaklah”. Zafri
sudah menyelinap juga ke dalam hutan. Semak-semak yang menghalang laluannya di
tepis kuat-kuat.
Kali ini telinga Zafri menangkap satu derapan kaki di hadapannya. Dia
yakin itu Haifa. Nasib baiklah tak kena bawa lari bunian. “Haifa, berhenti
Haifa. Kita dah jauh ke dalam ni. Kita sesat nanti! Haifa!”.
Zafri membuka langkah lebar. Dia harus memberhentikan langkah Haifa dari
terus ke dalam hutan. Haifa pula berlari lebih laju. Haifa sendiri tidak tahu
ke mana dia tuju.
“Awak jangan main-main dalam hutan ni. Awak tahu kan kita dekat Gunung
Besar Hantu, hantu dia besar-besar tau. Sekali dia telan, habislah awak”, Zafri
cuba menakutkan-nakutkan Haifa agar Haifa berhenti dari terus berlari. Namun,
Haifa makin kuat berlari. Walaupun hakikatnya gadis itu benar-benar takut,
egonya masih menguasai untuk mengetahui perkara sebenar. Haifa Harina takkan
mengalah! Kena makan dengan hantu pun tak apalah!
“Awak nak saya buat apa untuk berhentikan awak?”, Zafri melaung sambil
terus berlari. Haifa tidak pula menjawab. Faham-faham sendirilah!
‘Kenapa dia tak jawab? Aku tengah kejar Haifa ke tak?’, Zafri berfikir
sendirian. Automatik kakinya berhenti dari terus berlari. Perlukah aku
terus-terang aje? Apa akan jadi lepas ni pada kami nanti? Aku terpaksa walaupun
pahit. Aku tak mahu dia terus sesat dalam hutan ni. Keselamatan dia
tanggungjawab aku sekarang!’.
Zafri
mematikan langkahnya. “Haifa, saya mengaku saya Mr. Counselor tu. Saya
minta maaf, Haifa. Saya tak pernah berniat nak tipu awak selama ini. Saya ada
sebab kenapa saya tak mahu ceritakan pada awak. Saya takut andai awak
mengetahui kebenarannya, awak tuduh saya penipu. Saya takut persahabatan yang
baru kita bina ni hancur. Mungkin awak dah lupa, awak pernah tolong saya masa
saya darjah tiga dulu. Awak ingat tak awak tolong halau samseng-samseng yang
buli saya masa tu? Walaupun awak baru darjah satu, awak berani. Awak selamatkan
saya. Awak bagi saya lolipop suruh saya berhenti nangis. Awak letak plaster
rawat luka saya”.
Zafri manarik nafas mengumpul kekuatan. “Saya tak pernah lupa, Haifa.
Seminggu selepas tu, saya sekeluarga berpindah ke Johor Bahru. Sejak tu, saya
bertekad akan cari awak bila saya dah besar. Saya tekad. Lima tahun lepas tu,
saya ternampak gambar awak masa kecil-kecil dulu dalam facebook awak.
Dan saya yakin, itu awak. Ya, itu Haifa. Haifa Harina yang pernah tolong saya
dulu. Budak kecil yang garang, sampai sekarang masih macam tu. Maafkan saya,
Haifa. Saya takut andai saya mengaku Mr. Counselor itu saya, awak akan
kata saya penipu. Saya takut, Haifa. Malangnya, saya masih macam dulu juga.
Budak berkaca mata yang nerd. Penakut. Itu saya yang sebenar. Maafkan saya,
Haifa”.
Zafri
tertunduk. Kolam matanya bertakung dengan manik jernih. Ikhlas dia mahu
mengenali Haifa. Dia takut, takut akan kehilangan persahabatan ni.
“Awak
memang penakut! Pengecut! Awak tak pernah berubah dari dulu lagi. Selalu berada
di belakang, tak berani tampil berhadapan dengan khalayak. Saya benci pada
orang yang macam tu. Tak ada keyakinan diri langsung! Tapi Zafri Iskandar yang
saya kenal lain, dia ada sesuatu yang istimewa tak macam orang lain. Dalam diam
dia belajar untuk berani. Daripada terus berdiam, dia berusaha terbitkan
persahabatan. Itulah keberanian sebenar dia. Awak tau tak, saya menangis
seharian lepas dapat tahu awak pindah. Entah kenapa, saya sedih sangat waktu
tu..”, Haifa bersuara dari belakang Zafri.
Pantas Zafri memusingkan tubuhnya ke belakang. Seraut wajah Haifa sedang
tersenyum pada Zafri. Zafri membalas senyuman itu.
“Saya hargai persahabatan yang awak semai ni. Terima kasih, Is”.
“Penat tau tak selalu siram dan baja persahabatan kita tu. Bila sampai
nak tuai hasil, saya makin gementar”.
“Tetapi, hasilnya indah kan?”. Haifa menguntum senyuman.
“Kawan?”.
“Kawan, selamanya!”. Seraya itu mereka gelak mereka berhambur.
“Teruklah awak ni, benda kecil macam ni pun nak nangis. Cengeng!”. Haifa
menyambung gelaknya lagi.
Zafri
pantas menyeka air mata di tubir matanya. Dia tersenyum memandang Haifa. Wajah
Haifa kelihatan samar-samar dari cahaya bulan yang dihalang pohon yang
meninggi. “Jom, kita tertinggal beg dekat pokok besar tadi.
“Awak
hafal tak jalan keluar dari sini?”.
“Awak
yang masuk dulu dekat sini, kan? Saya ikut awak aje”.
“Mana saya tahu. Saya ikut gerak hati aje”, nada Haifa mengendur.
“Tak apa. Mesti ada jalan keluar. Jangan risau, sayakan ada. Sekarang,
keselamatan awak tanggungjawab saya. Kita akan keluar dari sini sama-sama. Saya
takkan pernah tinggalkan awak. Saya janji”. Zafri mengenyitkan mata kanannya. Zafri
sudah lebih berani. Sedikit-sebanyak kehadiran Zafri di sisi Haifa mampu
mengurangkan sedikit takut dalam diri Haifa.
“Ini barulah lelaki sejati!”.