Sunday, 8 January 2012

Hyeunja Harina:Part III


          Haifa sudah tidak senang duduk. Jam dinding sudah berdetik sembilan kali. Batang hidung mama masih tidak kelihatan. Selalunya mama akan beritahu andainya dia balik lewat. Tapi kali ini tidak. Telefon tidak, mesej pun tidak. Panggilan yang dibuat pula masuk dalam voice mail box. Aku dahlah takut duduk seorang-seorang dalam rumah ni. Mama pula buat hal. Hatinya tidak senang, takut-takut ada sesuatu yang buruk berlaku kepada mama. Kena rompak ke, kemalangan ke, entah-entah kena... Nauzubillah. Apa yang aku merepek ni? Bunyi deruman enjin di luar pagar sedikit-sebanyak melegakan hati Haifa. Namun, bunyi enjin itu agak berlainan daripada deruman enjin Toyota Camry mama tu.
          Haifa terhendap di balik langsir. Pelik, kenapa mama tak bawa kereta dia sendiri? Mana kereta mama? Dahlah balik dengan siapa tu? Lelaki? Tak pernah-pernah mama balik dengan lelaki asing. Ni mesti ada apa-apa.
          “Assalamualaikum..” Daun pintu rumah teres dua tingkat itu ditolak Puan Halida. Tersenyum melihat anak gadisnya itu sedang khusyuk membaca novel. Buat-buat aje tu. Padahal tadi menyibuk hendap ke luar tingkap. Haifa pantas berdiri dan menyalami mamanya. Segera di capai tas tangan dan brief case mamanya.
         “Anak mama tak tidur lagi?” Soalan itu hanya dijawab dengan gelengan. Mulut Haifa sudah tergam rapat tanda protes. Tak pernah-pernah dia buat perangai macam ni. Kenapa pula? Puan Halida mengambil tempat di sisi anak tunggalnya itu. Dialah buah hati pengarang jantungnya.
          “Kenapa anak mama ni? Ada masalah ke, sayang?” Soal Puan Halida sambil mengelus lembut anak rambut Haifa. Haifa yang membatu. Matanya masih terpaku pada pembacaannya itu. Dibiarkan soalan yang di tanya mamanya berlalu begitu sahaja.
          “Tak pernah-pernah anak mama buat perangai macam ni? Cakaplah.. ,” kali ini Puan Halida menarik dagu Haifa agar matanya dapat menatap bebola mata Haifa yang berwarna coklat. Mewarisi dari bapanya.
          “Tengoklah phone mama.” Segera Puan Halida membuka tas tangan dan mencapai telefon bimbitnya. Terbeliak mata Puan Halida. 85 panggilan tidak di jawab, 57 mesej tidak dibalas! Semuanya daripada Haifa. Puan Halida kembali menatap wajah bujur sirih anaknya itu. Muncung mulut Haifa kalah ikan todak! Puan Halida mengukir senyuman.
          “Maaflah sayang. Bateri lemah. Tu yang mama off terus phone mama tu. Mama memang nak call Haifa, tapi tak boleh nak buat macam mana..” Sebenarnya, dia tidak mahu langsung menerima sebarang panggilan tadi termasuk daripada Haifa sendiri. Tetapi, tidak sangka begitu risau anak gadisnya itu kepadanya.
          “Telefon awam kan ada? Kenapa tak guna? Kalau macam tu baik tak payah kerajaan buat telefon awam banyak-banyak kalau tak mahu guna. Bazir duit aje. Lepas tu, jadi habuan vandelisme.” Haifa membidas dengan wajah yang mencuka. Alasan tak relevan!
            Puan Halida ketawa kecil. “Haifa buat lawak ke? Tak kan seorang arkitek tersohor di Kuala Lumpur ni nak guna telefon awam? Tak rasionallah..” Kata-kata itu di susuli tawa yang meledak Puan Halida. Adoi, bangga pula mama aku ni!
          “Tak berdosa pun kan kalau guna pun? Tak masuk neraka kan?” Sinis kata-katanya. Terpaku Puan Halida dibuatnya. Anak gadisnya benar-benar marah nampaknya.
          “Okey Haifa. I admit those're my fault. Janganlah muncung dekat mama macam ni. Tak comel dah muka Haifa. Sekarang Haifa nak mama buat apa sebagai denda mama balik lewat? Cakap aje..” Puan Halida sudah melentokkan kepalanya di bahu Haifa. Suaranya pun segera di lunakkan bagi mendinginkan suhu tinggi Haifa.
          Perangai panas baran yang sememangnya di warisi daripada dirinya sendiri. Banyak perkara yang di warisi daripada dirinya berbanding ayah Haifa. Perangai, perwatakan sememangnya mewarisi daripada dirinya. Namun, wajah dan otak geliga Haifa sudah tentu daripada bapa Haifa. Bapa Haifa memang bijak, pemilik sebuah syarikat perkapalan yang terkemuka di Malaysia. Tubir mata Puan Halida sudah mengalirkan air dingin tatkala teringatkan suaminya itu. Segera diseka air mata itu takut di lihat Haifa.
          Fikiran Haifa ligat memikirkan denda yang sewajarnya di terima mama. Siapa suruh balik lewat? Sudah termaktub dalam enakmen undang-undang rumah itu sesiapa yang pulang lewat tanpa memberitahu kepada satu sama lain, akan di denda. Memang layak pun mama kena. Hehehe..
         “Masak.” Rasanya itu yang paling rasional memandangkan cacing di dalam perutnya sudah makin rancak menari.
          Dahi Puan Halida sudah berkerut. Kenapa kena masak?
          “Yalah, mama tau tak Haifa tak makan lagi ni? Kesian dekat perut Haifa ni, nyanyi lagu keroncong dah lama dah. Dahlah tengah hari tadi Haifa tak makan sebab balik lewat. Sarapan tak sempat makan. Haifa dah macam puasa terlebih waktu tau,” makin panjang mulut Haifa memuncung. Geram sahaja Puan Halida melihat muncung Haifa, mahu sahaja di potong muncungnya itu. Bukan main lagi rajuknya itu.
          “Okey. Tapi Haifa kena tolong mama?”
          “Tolong apa?” Ragu-ragu Haifa menyoal. Takkan nak suruh Haifa yang masak, Haifa mana pandai memasak!
          “Urut mama dulu. Lepas tu, mama pergi mandi. Then, baru mama masak. Badan mama sakit-sakitlah. Tadi pergi tengok site. Lenguh sangat ni. Boleh ya, sayang?” Puan Halida sudah merebahkan kepalanya di atas sofa yang empuk. Haifa pantas mengurut bahu mamanya. Kesian mama, penat bekerja sampai malam semata-mata mereka dua beranak. Puan Halida memejam rapat matanya. Asyik dia diurut anak kesayangannya itu. Urat-urat sendinya terasa longgar sekarang.

***

          Puan Halida menuruni tangga dengan pantas. Pasti Haifa sedang menantinya. Segera dia mendekati Haifa yang tekun memotong sayur-sayuran. Terus dia mengucup ubun-ubun anak gadisnya itu. Terkejut dia melihat lobak merah yang dipotong Haifa. Dah macam togeh! Haifa memotong lobak merah itu terlalu halus. Hancur dibuatnya. Namun, disimpan sahaja riak terkejutnya itu takut memanjang pula rajuk Haifa. Puan Halida mencari-cari sesuatu yang boleh di masak bersama lobak merah Haifa itu. Ada ayam, sayur sawi, cili, bawang, halia.. Masak sup ayam sajalah. Tekun dua beranak itu memasak di dapur. Masing-masing menyiapkan tugas sendiri.
          “Mama balik dengan siapa tadi?’ Soalan yang ingin ditanya dari tadi kepada mamanya akhirnya terkeluar juga. Selagi tidak di tanya, makin runsing otaknya ligat berfikir gerangan lelaki itu. Kawan mama ke, bakal papa ke, boss mama ke, macam-macam terlintas dibenak fikirannya.
          Puan Halida menelan air liur. Haifa nampak ke aku balik dengan dia ke? Puas otaknya mencari-cari orang yang sesuai dijadikan mangsa penipuannya. Tak mungkin dia akan berlaku jujur dalam hal ini. Terbongkar pula semuanya nanti. Er.. er..
          “Tu client mamalah. Mama pergi dinner dengan dia sebab nak bincang dengan dia tentang projek baru syarikat. Kebetulan kereta mama rosak, dia nak tolong mama. Dia hantar mama balik. Kereta mama masuk workshop. Mahu tak mahu tumpang naik dengan dia, tapi terpaksa juga. Kan dah malam, mama takut tak dapat teksi pula nanti.” Puan Halida puas dengan tipu helahnya. Moga-moga Haifa percaya. tapi fasal kereta rosak tu betul tau. Orangnya saja yang tak betul.
           “Mama, setahu Haifa tiada polisi mana-mana syarikat pun yang membenarkan stafnya bekerja di luar waktu pejabat. Paling kurang pun sampai pukul tujuh. Tapi itu tak termasuk dengan janji temu di luar pejabat. Tak tahulah pula Syarikat Indera Maju buat polisi macam tu dekat staf-stafnya. Kesian dekat mama. Lagi satu, bukan ke mama ada nombor Pak Mat? Teksi tetap mama tu. Kalau mama telefon dia, dia boleh datang ambil mama kan?” Selamba sahaja Haifa membangkang kata-kata mamanya itu. Nak kelentong Haifa ya? Otak Haifa malam-malam macam nilah dia ligat berfikir, ma. Don't you know that my dearest, mama?
          “Syarikat mama tu lain, Haifa. Dia bagai due date sesuatu projek tu, kita sendiri kena bijak urus masa yang ada. Diorang cuma nak tahu projek tu beres. Kesian dekat mama kan? Mama dah telefon Pak Mat, kebetulan anak dia sakit. Dia tak boleh ambil mama. Esok mama tak tau macam mana. Kereta dah masuk workshop. Pandai-pandailah mama esok,” sungguh bijak arkitek itu memanipulasi fakta. Siap meraih simpati lagi. Hehehe.. kau nak kata apa lagi, Haifa? Nak bidas mama lagi?
          “Boss mama tu memang tak ada akal kan? Tak jaga kebajikan staf langsung. Kesian pula tengok mama ni. Kalau Haifa jadi boss la nanti, Haifa takkan buat macam tu dekat staf Haifa. Habis tu, bila due date projek baru mama tu?” Akhirnya Haifa pasrah dengan mamanya itu. Tapi jangan ingat mama akan terlepas. Watch out, mama! Tangan Haifa ligat menyusun pinggan di atas meja makan. Puan Halida juga sibuk mengacau sup ayam di dalam periuk itu.
          “Bagus anak mama ni. Kalau Haifa jadi boss, Haifa jangan buat macam tu ya. Kesian pula staf Haifa nanti kan? Mama kena siapkan projek tu sebelum.. sebelum.. 28 Januari ni. Nanti awal bulan Februari dah nak mula pembinaan,” ketika itu masing-masing sudah mengambil tempat di tempat duduk masing-masing. Berkepul-kepul asap keluar dari mangkuk yang terisi sup ayam itu. Hari ni makan sup aje. Dah macam orang sakit pula.
          “Perbincangan mama tu dah siap ke belum? Tak kan tak cukup tiga jam tu?” Nada Haifa ternyata sinis buat mamanya. Haifa sudah merangka perangkap buat mamanya.
          “Belum sayang. Tak sempat rasanya tadi. Lagipun, orang tu datang lewat. Mama pula nak cepat balik. Kepala ni asyik teringat dekat Haifa aje.” Tangan Puan Halida sempat mencuit dagu Haifa.
          “Mama, hari ni sudah 29 Januari tau mama. 1 Februari lagi tiga hari aje. Sempat ke mama nak hand up projek tu nanti?” Terkedu dia mendengar kata-kata Haifa yang penuh lagak selamba itu. Haifa mengangkat kening dua kali. Mata Puan Halida segera meliar mencari kalendar. Ya Allah, betullah! Puan Halida sudah menelan liur. Alasan apa lagi aku nak buat ni? Aduh, susah juga kalau anak dah terlebih pandai.
           “Mama lupa pula nak buat air. Kita minum jus ajelah ya? Sekejap mama ambil dekat peti sejuk ya,” segera Puan Halida menukar topik. Tidak mahu dia terus-menerus diasak dengan soalan-soalan kontroversi anaknya itu. Haifa sudah tersenyum sinis melihat kelibat mamanya yang menghilang masuk ke dapur. Kan dah kena. Nak tipu Haifa lagi? Haifa Harina bukan sebarangan orang tau. Hahaha...

***

            Haifa membelek-belek minit mesyuarat yang lepas. Terlalu banyak kesilapan ejaan. Itu tidak termasuk lagi dengan bahagian perbentangan usul. Usul yang di kemukakan Adham tentang pelajar yang disyaki merokok di belakang tandas pelajar lelaki tiada! Sudahlah itu isu penting yang ingin di bentang kepada Cikgu Fadzil.  Kalau tak ada, macam mana nak bentang? Adham disisi sedang khusyuk mencatat sesuatu di dalam buku notanya. Ahli Jawatankuasa Badan Disiplin dan Pengawas yang lain juga khusyuk meneliti minit mesyuarat yang lepas. Haifa berdiri tanpa di suruh.
          “Afiqah! Macam mana awak buat kerja, hah? Banyak sangat kesalahan ejaan. Usul hyang dikemukakan Adham pun tak ada. Macam mana kami nak bentang kepada Cikgu Fadzil?” Kesabarannya yang dipelihara selama dua hari ini mencapai tahap maksima. Kalau Mr. Counselor tahu mesti kena marah. Semua ahli jawatankuasa terkejut dengan suara Haifa yang nyaring memecah hening Bilik Mesyuarat itu. Adham di sebelah juga terkejut. Pen di tangannya juga sudah terpelanting  hilang entah ke mana. Segera minit mesyuarat di hadapannya di capai. Kaca mata diangkat sedikit. Mencari-cari bahagian yang dikatakan Haifa tadi.
          Afiqah sudah membuat muka jelik. Geram dengan tindakan Haifa yang cuba mencabarnya. Adham sudah menarik kerusi menyuruh Haifa duduk kembali. Haifa merengus kasar. Haifa membisik-bisik sesuatu kepada Adham. Makin meluat Afiqah dibuatnya. Segera Afiqah berdiri. Mahu menegakkan benang yang basah!
          “Hei, saya tulis guna komputer tau. Biasalah tu kalau ada kesalahan ejaan. Typing error is common thing okey! Yang awak nak marah-marah dekat saya ni kenapa?”
          “I can admit that. Tapi macam mana dengan usul merokok tu? Awak nak kata apa lagi? Tiba-tiba saja tangan awak tertekan delete masa awak tengah taip usul Adham waktu tu. Macam tu?” Geram sungguh Haifa dengan tindakan Afiqah. Nak bela lagi tu, padahal sudah terang lagi bersuluh salah dia. Afiqah bagai cacing kepanasan. Apa lagi yang perlu dikatakan bagi membuktikan yang dia ‘tidak’ bersalah. Afiqah sudah memberi jelingan maut kepada Haifa. Adham sudah cuak. Petikaman lidah antara Haifa dan Afiqah sudah memuncak. Setiap kali mesyuarat mesti macam ni! Aduh..
          “Haifa! Afiqah! Duduk sekarang!” Adham sudah menggunakan kuasa vetonya untuk mententeramkan keadaan. Haifa sudah kembali duduk. Cuma Afiqah yang masih tegak berdiri sambil memeluk tubuh. Adham sudah naik geram dengan tindak-tanduk Afiqah yang degil. Masalah betullah budak ni! Aku sepupu kau sekali pun, tak bermakna kau boleh buat macam ni!
          “Afiqah! Awak nak saya buat  apa lagi sampai awak boleh duduk? Atau awak nak saya halau awak terus?!”. Adham bijak membezakan perihal keluarga dan tugas. Andai berada di luar sekolah, Adham biasa diri dipanggil ‘Abang Am’ apabila berbual bersama Afiqah. Namun, jarang juga Adham berbual dengan Afiqah. Malaslah!
          Segera Afiqah duduk di tempatnya. Takut dengan ugutan Adham. Bukan boleh main dengan si Adham ni. Sekejap-sekejap angin dia baik, sekejap-sekejap boleh jadi taufan pula.
          “Tolong bersikap profesional sikit boleh tak? Kita semua ni pengawas, malah pengawas yang dilantik bagi menerajui BDP tahun ni. Satu badan yang paling  berpengaruh di Sekolah Bandar Mahkota ni. Kita ni contoh kepada pelajar lain, tapi kita sendiri pun tak layak jadi contoh. Jadi pemimpin. Apa-apa masalah kita bincang. Itulah gunanya mesyuarat yang saya jalankan setiap bulan ni. Faham? Sekarang, apa masalahnya, Haifa?”, panjang lebar Adham memberi nasihat kepada semua anak-anak buahnya itu. Sememangnya dia mahukan yang terbaik dalam pentadbirannya tahun ini. Sebagai Ketua Pelajar, itu memang tanggungjawabnya. Haifa di sisi segera di toleh.
          Haifa memberikan senyuman manis kepada Adham. Segera di buka helai demi helai minit mesyuarat di tangannya.
          “Maafkan saya atas keterlanjuran saya tadi. Saya cuma ingin mencari kepastian tentang minit mesyuarat ini. Semua boleh buka bahagian usul pada helaian 11.” Semua ahli mesyuarat membuka halaman seperti yang dinyatakan oleh Haifa.
          “ Satu kemusykilan, di mana usul yang di kemukakan Adham berhubung pelajar Tingkatan Lima yang merokok di belakang tandas? Padahal, kita semua maklum usul itu memang penting sebab kita dah sebulat suara hendak membentangkan usul itu kepada Cikgu Fadzil? Habis sekarang macam mana? Dah lah banyak sangat typing error. Longkang jadi lengkong? Kita nak pastikan longkang yang tersumbat di selenggara ke lengkong yang tersumbat diselenggara? Awak semua tak pelik ke? Itu belum lagi dengan pokok bonzai jadi pokok bohsia!” Seraya itu seluruh ahli jawatankuasa BDP ketawa berdekah-dekah.
         Mesyuarat yang tadinya sepi setelah di tegur Adham menjadi gamat seketika. Adham turut sama gelak. Afiqah sahaja yang masih masam mencuka. Mana tidaknya, kena batang hidung sendiri!
          Afiqah sudah panas pinggul. Seraya dia berdiri untuk membela diri. Namun, niatnya di halang apabila Adham mahu bersuara. Mahu tak mahu, Afiqah terpaksa duduk semula. “Memang apa yang dikatakan Haifa itu benar. Saya baru sedar terlalu banyak kesilapan yang dilakukan Setiausaha BDP kita kali ini. Afiqah, saya mahu awak buat semula minit mesyuarat kali ini. Kalau boleh saya nak cepat. Minggu depan saya, Haifa dan Sara hendak bentangkan usul itu kepada Cikgu Fadzil. Hujung minggu ini pastikan minit mesyuarat yang baru tu dapat pada tangan saya atau Haifa. Boleh?”
 Afiqah mengangguk lemah. Dia perlu akur dengan kehendak ketuanya itu.
          ‘Habis rosak plan aku! Siap kau Haifa, aku tak kan biarkan kau hidup aman!’ Afiqah sudah menyimpan dendam terhadap Haifa. Mesyuarat tengah hari itu tamat setelah dua jam bersidang. Adham sempat mengusik Afiqah tentang minit mesyuaratnya itu. Berderai tawa para pengawas itu sekali lagi. 

***

          Haifa mengemas barang-barangnya yang berselerak di atas meja. Fail-fail Badan Disiplin dan Pengawas juga di susun sekali lagi sebelum di hantar ke Bilik Gerakan Pengawas. Farasyiqeen sudah menghilangkan diri ke tandas. Tinggal Haifa serta Adham sahaja yang masih setia menanti Haifa mengemas barang-barangnya.
          “Haifa, tunggu sekejap.” Adham bergegas mengunci pintu Bilik Mesyuarat untuk mengejar Haifa. ‘Susah-susah aku tunggu dia, selamba aje dia tinggalkan aku.’ Adham berleter sendirian sambil berlari anak mendapatkan Haifa. Haifa sudah mengah menunggu si Adham itu. Lembab! Dahlah aku ni macam mengandung sembilan bulan. Bukan main berat lagi fail-fail ni.
          “Boleh saya tolong awak? Berat ni..” Akhirnya ‘pergi’ juga beban Haifa itu. Haifa segera memberi kesemua fai-fail tersebut kepada Adham. Dah baik hati sangat, angkatlah semua. Adham berlagak macho mengangkat fail-fail yang berat itu. Mereka berjalan beriringan menuju ke Bilik Gerakan Pengawas.
          “Haifa, saya ingat kes merokok tu saya nak serahkan kepada awak. Bolehkan?” Adham memecahkan sunyi sewaktu mereka sudah bergerak keluar dari Bilik Gerakan Pengawas itu.
          “Kenapa pula? Sara kan ada? Lagipun jawatan dia lebih tinggi daripada saya. Nanti apa pula dia cakap.” Haifa bingung dengan kehendak Adham kali ini. Haifa tidak pernah diberi kes-kes yang ‘berprofil tinggi’ seperti itu. Kes merokok kali ini dikatakan mempunyai kaitan dengan Syahir, anak kepada Yang Dipertua PIBG tahun ini. Mesti dia akan gunakan segala kuasa vetonya untuk membela anaknya itu.
          “Sara dan saya sendiri sudah mempunyai kes-kes yang belum diselesaikan. Haifa jangan risau, si Timbalan Ketua Pengawas pertama itu takkan kata apa-apa. Dia sendiri sudah beritahu saya dia tak mahu turut serta dalam kes merokok itu. Sebab tu dia tak turun mesyuarat kali ni. Demamlah konon. Tolong Haifa, awak seorang saja harapan saya,” sengaja Adham merayu-rayu kepada Haifa. Dia sendiri tidak mahu memegang kes merokok itu memandangkan Syahir punyai pengaruh yang kuat di sekolah itu. Adham tidak mahu mencari masalah.
          Haifa sudah memikirkan risiko sekiranya dia bersetuju dengan permintaan Adham itu. Risikonya memang tinggi. Apakan daya, ini memang risiko yang patut di ambil setelah dia bersetuju menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengawas kedua setelah Sara. Haifa mengangguk tanda setuju. Adham tersenyum seronok. Hilang satu masalahnya.
          “Nanti saya bagi tahu Haifa kalau Cikgu Fadzil setuju. Benda ni kena minta persetujuan cikgu dulu. Okeylah ya, saya balik dulu. Assalamualaikum..” Adham sudah menghilang bersama motorsikalnya.
          Adham memang berkaliber, namun Haifa juga tahu Adham tidak berani apabila berdepan dengan masalah seperti itu. Lebih-lebih lagi melibatkan Syahir. Nasib baik aku ada, kalau tak nak harapkan siapa lagi? Afiqah? Jangan harap!
          Haifa mengatur langkah menuju ke tempat letak basikal. Farasyiqeen sudah lama setia menunggunya di situ. Kesian pula Haifa melihat Farasyiqeen menunggu sendirian di situ. Segera dia berlari-lari anak mendapatkan rakan baiknya itu.
          “Amboi, bukan main lagi menyembang dengan cik abang dia tu. Kawan sendiri di lupakan ya,” sengaja Farasyiqeen mengusik rakan baiknya itu. Memang Haifa agak akrab dengan Adham memandangkan mereka selalu bersama menyiapkan agenda BDP.
          “Banyaklah kau. Dah jom balik. Aku tinggalkan kau nanti baru tau.” Haifa sudah mengayuh basikalnya meninggalkan Farasyiqeen yang masih tersengih-sengih. Segera Farasyiqeen mengayuh laju mahu memintas Haifa.
          “Hei, tunggu lah!”

No comments:

Post a Comment