Saturday, 31 December 2011

Hyeunja Harina: Part II


          Haifa mengatur langkah longlai menuju ke bengkel Kemahiran Hidup bersama Farasyiqeen. Malas rasanya mahu belajar hari ini. Pagi-pagi lagi dia sudah di sapa dengan senyuman sinis si mulut laser itu. Hari yang di jangka indah berubah mendung dengan angin bertiup kencang tatkala senyuman itu menerjah korena matanya.Farasyiqeen pula asyik menceritakan tentang dua orang pelajar lelaki semalam. Dia di minta untuk menunjukkan kawasan sekolah kepada dua beradik itu semalam. Namun, sedikit pun cerita pengalaman Farasyiqeen tidak menarik perhatian Haifa. Apa yang dapat ditangkap gegendang telinga Haifa, si mulut laser itu namanya Zarif Ilham. Abang dia pula Za.. Za.. Za apa entah. Ah, malas nak ambil tahu! Cukup ajelah senyuman sinis mamat tu.
          Mata Haifa tertancap kepada beberapa pelajar senior Tingkatan Lima yang berbaris panjang, berdiri tegak kalah tentera Jepun ketika dia melintasi tapak perhimpunan. Bersemangat mereka di denda Cikgu Fadzil dengan menyanyikan lagu Negaraku sebanyak lima kali. Itulah, datang lewat lagi. Rasakan! Nasib baik bukan aku yang jaga pintu pagar, kalau tak makin teruk korang kena.
          Sesi pembelajaran Kemahiran Hidup hari ini sungguh bosan. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Tapi, pelajar-pelajar lain seronok semacam pula. Biarlah, diorang nak pandai. Haifa lesu tidak bermaya hari ini. Sarapan pagi pun tidak dijamah. Dua jam waktu pembelajaran berlalu begitu sahaja bagaikan angin menghembus lembut. Farasyiqeen sudah hilang daripada pandangan ketika mereka sama-sama ingin menuju ke kafeteria. Laparlah konon. Orang dekat Somalia tahan sebulan tak makan tau. Kebuluran lagi! Haifa mengatur langkah lambat.
          ‘Malas la nak ke kafe, balik kelas ajelah.’ Haifa sudah berpatah balik menuju ke kelas. Terbelalak matanya melihat seorang pelajar lelaki yang betul-betul di hadapannya. Hidung comel Haifa hampir saja menyentuh dada pelajar itu yang bidang. Tulah, pendek sangat! Habis semua duit syiling di tangannya bertaburan. Pelajar lelaki itu segera terbongkok-bongkok mengutip duit-duit syiling tersebut. Haifa membuka satu langkah ke belakang untuk menjarakkan diri. Haifa masih memerhati. Masih kaget agaknya dengan pelajar lelaki itu.
         “Maafkan saya.” Pelajar lelaki itu menghulurkan duit syiling kepada Haifa sambil membetulkan kedudukan kaca matanya. Haifa masih kaku. Entah apa yang difikirkannya. Fikirannya jauh menerawang merentas Asia Pasifik.
          “Awak.” Sapaan itu membuatkan Haifa kembali ke alam nyata. Lama menatap raut  wajah di hadapannya. Sejumlah duit syiling itu bertukar tangan. Pantas Haifa melangkah pergi. Mahu melarikan diri daripada lelaki itu. Lelaki itu lebih pantas menghalang laluan Haifa. Sengaja lelaki itu mendepakan tangannya. Apa kena dengan mamat ni?
          “Maaf, saya nak ke kelas ni. Boleh ketepikan tangan awak tu?” Haifa bersuara lembut. Sedaya upaya dia cuba untuk bersabar hari ini. Semua ini atas nasihat Mr. Counselor semalam. Haifa menghela nafas. Sabar, sabar Haifa. Anak mata Haifa tepat menatap mata lelaki itu. Cuba mencari kemahuan sebenar lelaki itu.
         “Saya Zafri Iskandar,” lelaki itu menghulurkan salam perkenalannya. Terpinga-pinga Haifa dibuatnya dengan tingkah figura di hadapannya itu. Aku tanya nama dia ke tadi? Berkerut sedikit wajah Haifa. Cuba untuk mencari kepastian.
          “Saya cuma nak minta maaf fasal kejadian semalam. Adik saya memang macam tu. Dia panas baran sikit. Sorry ya,” sayu sahaja suaranya. Ikhlas. Baru Haifa teringat, pelajar lelaki ini ada bersama si mulut laser semalam. Cuba menjadi penyelamat keadaan.
          “Okey, saya maafkan. Ada apa-apa lagi tak? Saya nak ke kelas sekarang.” Haifa menjawab acuh tak acuh. Mahu secepat mungkin pergi dari sini. Sudah bertukar merah kulitnya keputih-putihan terkena terik matahari. Kepalanya juga sudah terasa pening. Dahlah orang asyik perhati aje dari tadi, tak fasal-fasal kena tuduh skandal dengan mamat ni.
          “Tak, itu aje.” Mendengar akhir kata Zafri, Haifa sudah menghayun langkah pergi. Zafri menghantar Haifa dengan pandangan sayu.
        Dia tak mahu sembang panjang dengan aku ke? Huh, redha ajelah. Dah orang tak sudi, buat apa nak memaksa. Zafri bermonolog di dalam hati. Dia sudah ingin berpatah balik menuju ke Blok Tawakal, blok khas Tingkatan Lima.
          ‘Alamak, dia patah balik! Macam mana ni?’ Zafri membetulkan rambutnya yang tersikat rapi menggunakan tangannya. Dia tersengih bagai kerang busuk melihat Haifa yang semakin mendekat.
           “Awak tak nak masuk kelas ke? Kalau tak salah saya sekarang waktu rehat Tingkatan Tiga aje dan awak ni Tingkatan Lima kan? Dah tak tau peraturan sekolah?” Tergamam Zafri dibuatnya. Ingatkan Haifa hendak bersembang dengannya lagi, rupa-rupanya hendak menghalaunya ke kelas. 
            “Ops, maaf. Saya pergi dulu. Bye..” Zafri sudah berlari menuju ke kelasnya sambai melambai-lambai ke arah Haifa. Haifa tersenyum. Seronok melihat si Zafri itu kelam-kabut. Bukan apa, Haifa suka melihat wajah Zafri yang comel itu. Iras pelakon Korea, Rain yang berlakon dalam drama bersiri Full House itu. Haifa kembali menapak pulang ke kelas dengan hati yang berbunga ceria kembali.

***

           Rutin biasa bagi Shira, petang itu dia perlu bertugas di perpustakaan sekolah. Perkara paling dibencinya pada setiap hari Selasa. Bukan apa pun yang akan dilakukannya di perpustakaan itu selain hobi kesukaannya, tidur! Yalah, Cikgu Razak selalu tiada di perpustakaan. Shira pun bermaharajalelalah! Hahaha.. Shira menolak perlahan slide door perpustakaan itu. Terhendap-hendap ke dalam ruang perpustakaan itu mencari kelibat Cikgu Razak. Yes, tak ada! Hati Shira berbunga riang. Resah yang menyelubung diri kerana lewat datang melapor diri hilang begitu sahaja. Barulah aman hari ni nak jalankan ‘tugas’ aku tu nanti.      
          “Ehem.” Deheman itu amat dikenalinya. Perlahan-lahan dia menoleh kebelakang. Alamak, cikgu! Shira sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.
          “Awal kamu datang hari ni.” Aduh, pedasnya. Terasa sampai ke ulu hati. Nada Cikgu Razak lebih ke arah memerli Shira. Tergaru-garu Shira mencari alasan. Kepalanya yang bebas kutu itu  terasa gatal sekali.
          “Er.. er.. Maaf cikgu. Tetiba aje tadi perut saya memulas-mulas. Saya pergi tandas sekejap. Tak sangka sampai satu jam. Entahlah saya makan apa tadi. Mungkin keracunan,” sengaja Shira membuat wajah yang berkerut-kerut untuk menambahkan lagi perisa dalam lakonannya. Walaupun tidak nampak berasas terperap dalam tandas sampai satu jam, tapi itu yang paling relevan baginya. Lebih baik daripada mengaku tertidur di dalam surau sehingga meleleh air liur di atas sejadah surau! Habis berpeta sejadah itu dibuatnya. Itupun nasib baik Farasyiqeen mengejutnya dari tidur. Alamatnya tak datang bertugaslah si Shira ini.
          “Tak mengapa. Kira bagus jugalah perut kamu tu tak sakit lama. Ada kerja yang kamu kena buat petang ni. Ada stok buku baru sampai. Cikgu dah suruh pustakawan junior masukkan data ke dalam sistem. Cuma nak kena susun aje. Tapi kamu kena buat seorang. Najiha ada kecemasan, jadi dia tak boleh datang bertugas. Dia dah inform kepada cikgu tadi. Kamu boleh buat seorang kan? Kerja senang aje.” Arahan diktator Cikgu Razak menyentap seluruh kehidupan Shira petang itu. Macam mana tidur aku? Huwaaa.. kejamnya Najiha! Sampai hati kau biarkan aku terkontang-kanting kat sini seorang diri. Huhu.. hari Shira di rasakan gelap petang itu. Habis rosak program aku!
          “Shira.”
          Shira kembali menatap wajah diktator di hadapannya. Terkebil-kebil dia melihat Cikgu Razak. Sengaja di comelkan mukanya untuk mendapat simpati Cikgu Razak. “Kamu boleh buat kan? Kerja senang ja ni..”
          Senang? Memanglah senang, tapi... .
           “Apa yang cikgu tahu, pukul lima nanti cikgu datang tengok kamu. Okey? Cikgu pergi dulu, ya.” Shira masih melihat kelibat Cigu Razak pergi sehingga hilang dari pandangan mata. Shira menapak masuk ke dalam perpustakaan itu. Segera dia melihat pada jam di pergelangan tangannya. 3.00 petang. Dua jam lagi sebelum Cikgu Razak datang semula. Yes, ada masa lagi. Kalau tidur sejam aje pun cukup dah ni. Asalkan boleh ‘qada’ tidur aku yang diganggu Farasyiqeen tadi. Semua buku di atas kaunter pertanyaan itu di tolak ke tepi. Belum sempat lima saat berlalu, mata Shira sudah terpejam rapat apatah lagi dengan bantuan suhu dingin 22 darjah celcius.

***

          Shira terkebil-kebil bangun. Dia cuba untuk membuka kelopak matanya yang terasa berat. Berpinar-pinar matanya menahan sinaran cahaya lampu pendaflour di dalam perpustakaan itu. Bunyi tolakan slide door yang agak kuat itu mengejutkannya. Kelibat seorang pelajar lelaki masuk ke dalam perpustakaan. Shira masih lagi dalam keadaan mamai. Air liur basi yang masih melekat di pipinya segera di lap. Sempat lagi pelajar lelaki itu memberi senyuman manis kepada Shira dengan adegan menjijikannya itu. Terlopong mata Shira. Handsomenya!
          Shira kembali sedar. Anak matanya kembali menyoroti figura itu sehingga pelajar lelaki itu mengambil tempat duduk. Shira menoleh sekilas jam di pergelangan tangannya. 4.30 petang. Ala, baru 4.30.. awal lagi.  
        4.30? Awal? Tu kau kata awal. Lagi setengah jam Cikgu Razak nak datang tau.
        Tergopoh-gapah Shira mengangkat sekotak stok buku baru di bawah kaunter. Ada dua kotak ke? Ya Allah, banyaknya.. Segera di bawa kotak itu ke sebuah rak buku.
          “MasyaAllah, tingginya. Macam mana nak panjat?” Shira sudah tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Semua rak buku di bahagian bawah sudah terisi penuh. Tinggal tiga bahagian atas saja yang tidak di isi lagi pada rak bahagian Sejarah dan Geografi. Segera di capai sebuah kerusi plastik di sudut meja bacaan di situ. Satu per satu buku itu di susun. Kelam-kabut Shira menyusun buku-buku itu yang agak tebal itu.
          Matanya tiba-tiba tertancap pada satu kelibat. Pelajar lelaki itu! Tangannya sudah terhenti dari menyusun buku. Matanya telah terpaku pada satu figura kacak di hadapannya itu. Matanya menyoroti tingkah pelajar itu yang sedang mencari buku di sudut rak yang sama.
          Tiba-tiba mata mereka bertemu. Kaget Shira. Habis kantoi aku, kan dah kena tangkap! Shira kembali menyusun buku dalam keadaan terkoncoh-koncoh. Zafri hanya tersenyum melihat aksi gadis itu yang terkantoi memerhatikannya dari tadi. Bukan dia tidak perasan, sengaja dia mahu memerangkap gadis itu. Shira sudah tidak menghiraukan pelajar itu. Segera dia kembali fokus pada tugas yang menanti untuk dibereskan. Shira cuba meletakkan buku di ruang paling atas. Dia menjinjatkan kakinya agar dapat diletakkan juga. Tidak semena-mena, Shira hilang pertimbangan. Dupp!! Bagai nangka busuk gugur, Shira jatuh bersama-sama buku-buku yang tebal itu.
          “Aduh, sakitnya kepala aku! Kurang asam punya buku. Salah kaulah!” Shira mengusap-usap kepalanya yang sakit akibat dihempap buku-buku tebal itu. Zafri turut sama terkejut. Dia yang baru ingin menapak pergi terkejut mendengar bunyi seperti dentuman gempa bumi. Agak kuat. Terkejut dia melihat gadis tadi jatuh terkangkang bersama-sama buku-buku yang berselerakan di sisnya.
              Shira segera manarik kain sekolahnya yang sudah terselak sehingga ke pangkal betis. Terserlah kakinya yang berpeta-peta itu! Shira cuba untuk berdiri, namun ruang yang sempit itu menyukarkan dirinya. Segera Zafri menarik lengan gadis itu sekadar untuk membantu gadis itu berdiri. Mujur berlapik. Lagipun, tiada niat lain pun.
          “Terima kasih,” hanya itu yang terpacul perlahan dari mulut Shira. Panas menyelubung mukanya akibat terlalu segan. Apatah lagi hanya mereka berdua saja yang berada di dalam perpustakaan itu. Boleh kena tangkap basah ni. Pelajar lelaki itu hanya tersenyum nipis. Ada lesung pipit! Terserlah lagi kekacakannya.
          “Awak okey?” Bagai orang bodoh sahaja Zafri menanyakan soalan itu kepada Shira. Walhal, dia sendiri nampak Shira yang mengusap-usap kepala dan pinggangnya itu. Mesti sebab jatuh terkangkang tadi.
            “Okey.” Sepatah sahaja yang terpacul keluar.
         Sungguh, pinggangnya terlalu sakit mengenangkan dirinya yang terjatuh dalam ruang yang sempit. Aduh, malang la nasib kau Shira. Zafri segera menarik sebuah kerusi plastik lalu di tolak kepada Shira. Shira yang masih bingung hanya menurut. Segera dia duduk di atas kerusi  itu. Huh, lega sikit kesakitan pinggangya. Alamat boleh mandul aku kalau tiap-tiap hari jatuh macam itu.
          Zafri mengutip buku-buku yang bertaburan di atas lantai. Segera dia meletakkannya ke dalam sebuah kotak di situ. Satu per satu buku-buku tebal itu di susun. Dengan ketinggian seperti seorang pemain bola keranjang, mudah sahaja bagi Zafri untuk menyusun buku-buku itu. Bukan macam Shira. Sampai terjatuh!
          Shira merebahkan kepalanya di atas meja bacaan itu. Teruja melihat pelajar lelaki itu menyiapkan segala tugasnya tanpa di suruh.
          ‘Amboi, baiknya! Kasihanlah pula, nak tolong ke tak? Malaslah, baik tidur.’
          ‘Apa pula, tak kan kau nak biar dia buat sorang aje kot? ‘
         ‘Aku tak suruh pun, dia yang nak. ‘
          ‘Habis kau nak tengok aje? Serius tak nak tolong?’
          ‘Yalah, aku tolonglah ni.’
          Perbalahan antara akal dan nafsu Shira akhirnya berpihak kepada akal. Terpaksalah Shira menggagahkan diri membantu apa yang patut. Tak ikhlas pun! Shira menghulur setiap buku tebal itu kepada Zafri. Mudah bagi Zafri agar tidak terbongkok-bongkok mengambil buku-buku itu.
           Simpati Zafri melihat gadis itu. Sakit-sakit pun nak tolong juga. Gadis itu nampak malu-malu. Mungkin segan kepadanya memandangkan gadis itu sudah terkantoi memerhatikannya tadi. ‘Hahaha.. kacak sangat ke aku ni? Perasan! Huh.’ Tangannya masih ligat menyusun buku.
          Tiba-tiba sahaja gadis itu mengatur langkah pergi. ‘Aik? Dia nak pergi mana pula? Tak kan nak biarkan aku susun sorang-sorang? Padahal ni kerja dia kan?! Tak boleh jadi ni! Ishh!’ Zafri sudah turun dari kerusi itu. Segera mencari si gadis hitam manis itu. Tak ada?! Huh..
          Matanya tiba-tiba tertancap pada susuk seseorang yang sedang terbongkok-bongkok di tepi kaunter pertanyaan itu. Susuk tubuh yang tersarung baju uniform sekolah berwarna kuning sedang mencari-cari sesuatu. Gadis tu kan? Zafri segera mendekati. Zafri menjengah ke dalam kawasan kaunter itu di sebalik tubuh gadis itu yang menghadangnya.
          “Nah, ni ada satu kotak lagi. Awak boleh tolong saya kan?” Segera Shira menghulur sekotak buku-buku yang perlu di susun kepada Zafri. Kotak itu bertukar tangan. Shira mendahului jalan di hadapan manakala Zafri hanya mengikut dari belakang. Macam Queen Contol pula lagaknya. Segera Zafri memanjat kerusi plastik itu tanpa di suruh.
          Tatkala itu juga Shira terus-menerus menghulur satu per satu buku kepada Zafri untuk di susun. Sepi. Tiada sepatah kata pun yang terpacul dari mulut Shira mahupun Zafri. Masing-masing membisu.
          Shira yang selama ini peramah orangnya itu pun tidak tahu bagaimana ingin memulakan kata. Otaknya beku! Hanya sesekali helaan nafas terdengar dari mulut Zafri. Mana tidaknya, pantas sahaja Shira mencapai setiap buku lalu di hulrkan kepada Zafri. Semput Zafri dibuatnya. Akhirnya dua kotak buku itu sudah siap tersusun.
          “Terima kasih.” Ringkas.
          Hanya itu yang mampu terucap oleh Shira sebelum mengambil tempat di kaunter pertanyaan. Jam di tangan di toleh sekilas. Tepat. Jarum jam tangannya tepat menunjukkan pukul lima.
          Zafri terkebil-kebil melihat tingkah gadis itu tadi. Itu aje? Susah-susah aku susun, terima kasih aje dia bagi. Bukan nak belanja aku minum ke, okeylah juga. Zafri melangkah pergi ke tempat duduknya lalu menyusun semua alat tulisnya. Dia menyimpan semua buku rujukan yang diambil tadi. Bunyi slide door ditolak mencuri perhatiannya. Wajah Cikgu Razak, penyelaras pusat sumber terpacul di muka pintu. Guru itu sedang berbual dengan gadis tadi. Gegendang telinga Zafri sempat menangkap perkataan ‘stok baru’ ketika melintasi di hadapan mereka. Ooo, ni mesti kes cikgu suruh dia susun buku-buku tadi tu. Tak fasal-fasal aku pula yang susun.
          Zafri menapak keluar. Segera dia menyarung kasut sekolahnya. Gadis itu turut sama keluar. Dia segera mengambil posisi duduk di hujung bangku yang sama sedang diduduki Zafri. Gadis itu turut menyarung kasut sekolahnya. Gadis itu lebih pantas. Segera Shira mengatur langkah pergi turun dari bangunan tiga tingkat itu. Tidak mahu berlamaan di situ memandangkan hanya mereka berdua sahaja di bangunan itu. Shira yakin, pejabat di tingkat dua sudah ditutup termasuk juga bilik guru di tingkat yang sama.
          Zafri terkocoh-kocoh mengikat tali kasutnya kerana mahu mengejar gadis itu. Zafri membuka langkah seribu mendapatkan gadis itu. Tiba di tangga paling bawah, matanya meliar mencari kelibat gadis itu. Aik? Hilang? Bela hantu ke budak tu? Huh.. dah lah tak tau nama dia, sekurang-kurangnya dapatlah juga nombor telefon. Ni tak, habuk pun tak ada!

No comments:

Post a Comment